
KOTA BELUD: Kesukaran hidup yang perlu dilalui keluarga Sungkit Lubung yang menjadi mangsa kebakaran kediaman di Kampung Ulu Kukut di sini terus mendapat perhatian daripada pihak berkaitan.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri, Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis turut menghulurkan bantuan berbentuk keperluan harian kepada mangsa.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil beliau iaitu Jamlan Dawai yang juga Pembantu Pegawai Perhubungan DUN Tempasuk, di perkarangan rumah yang musnah dijilat api.
Menurut Jamlan, sumbangan tersebut adalah bagi membantu meringankan beban yang dihadapi mangsa sekeluarga.
“Sumbangan yang diberikan adalah menjurus kepada keperluan asas mangsa kebakaran kerana keperluan harian lain mungkin akan ada disumbangkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Pada hari berkenaan, mangsa turut dikunjungi rombongan Pemaju Masyarakat Mukim Timbang, Mark Simbi dan Ketua Daerah Tempasuk Datu Asal Hj. Arifin di mana beliau turut menyampaikan sumbangan daripada pihak masing-masing.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Datuk Haji Musbah Haji Jamli turut menyumbangkan barangan keperluan dapur dan pakaian kepada keluarga Sungkit.

Sumbangan telah disampaikan oleh wakil Cawangan Warisan Kg. Lugu Ulu Kukut Abdul Sanny yang diterima oleh wakil keluarga mangsa Majikon Mangait.
Pada malam 4 Mac lalu, sekitar jam 10.30 malam rumah kediaman Sungkit Lubung telah musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan beliau sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.