Anda di sini

Lelaki hilang wang, telefon terpedaya gadis Wechat 

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki kehilangan wang dan telefon bimbitnya selepas terpedaya dengan ‘gadis’ kenalan di aplikasi Wechat di sebuah hotel pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata mangsa pada mulanya mengenali pengguna Wechat yang menggunakan nama ‘Mei’ pada 4 Mac kira-kira jam 10.30 malam.

“Mangsa berumur 22 tahun itu kemudiannya bersetuju melanggan Mei dengan harga RM200 dan berjumpa dengan dua lelaki sebelum bertemu dengannya di sebuah hotel di bandaraya.

“Kira-kira jam 12.05 tengah malam Selasa, mangsa bertindak menuju ke hotel terbabit dan bertemu dengan dua lelaki seperti yang dijanjikan sebelum suspek meminta RM30 beserta telefon bimbit sebelum mengarahkan suspek masuk ke bilik bernombor 411,” katanya.

Beliau berkata mangsa warga tempatan itu bagaimanapun mendapati bilik dinyatakan tidak wujud dan mencari semula dua suspek lelaki terbabit yang sudah menghilangkan diri.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari sudah ditipu.

“Bertindak atas kejadian itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan dua suspek lelaki keesokan harinya pada jam 12 tengah malam.

“Kedua-dua suspek masing-masing berumur 25 dan 30 tahun ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri telefon bimbit,” katanya.

Habibi berkata ia adalah kejadian kedua membabitkan penipuan melalui penyamaran wanita di aplikasi Wechat yang memperdaya lelaki dengan manawarkan perkhidmatan seks.

  • oleh
  • Advertisement