Anda di sini

Kaji semula fungsi jabatan bertindih

Advertisement
EWON
EWON

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat disaran mengkaji semula kewujudan agensi persekutuan di Sabah yang fungsinya bertindih dengan peranan jabatan di bawah kerajaan negeri.

Ketika membuat seruan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata langkah itu wajar dipertimbang sekiranya kerajaan Pusat berhasrat merasionalisasi atau mengecilkan jumlah penjawat awam.

Sambil mengambil contoh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), beliau berkata pewujudan agensi kerajaan Pusat itu bertindih dengan peranan dilaksanakan Jabatan Perikanan Sabah.

“Saya berpendapat peranan dan fungsi LKIM boleh dilaksanakan Jabatan Perikanan Sabah. Selain itu, beberapa lagi agensi atau jabatan persekutuan di Sabah yang mempunyai duplikasi peranan yang sama atau hampir sama.

“Oleh itu, saya melihat rasionalisasi dicetuskan Perdana Menteri dalam konteks Borneonisasi dan seterusnya memperkasa institusi Kerajaan Sabah sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia.

“Saya percaya Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia yang ditubuhkan boleh mengupas isu berkaitan rasionalisasi perjawatan persekutuan ini, khususnya di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata, jumlah penjawat awam di negara ini seramai 1.7 juta terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Ewon yang juga Adun Kadamaian dan naib presiden Upko percaya Tun Mahathir mempunyai rasional sendiri apabila menyatakan perkara itu.

“Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menyatakan mengenai rasionalisasi penjawat awam atau dalam kata lain, mengecilkan jumlah pengisian perjawatan awam.

“Isu ini terus dibincang, dibahas dan dikupas oleh banyak segmen masyarakat termasuk kalangan penjawat awam sendiri. Saya percaya beliau sudah tentunya mempunyai rasional tersendiri semasa menyatakan perkara itu,” katanya.

Ewon berkata dalam konteks Sabah, Tun Mahathir boleh melaksanakan rasionalisasi itu bermula dengan melihat duplikasi fungsi serta peranan di antara agensi atau jabatan di peringkat

Kerajaan Persekutuan di Sabah yang turut sama dilaksanakan atau hampir dilaksanakan, atau boleh dilaksanakan oleh agensi/jabatan di peringkat Kerajaan Negeri Sabah.

Advertisement