Anda di sini

APM Sandakan mulai agih bekalan air

Advertisement
LORI tangki Majlis Daerah Beluran yang terlibat pengagihan bekalan air bersih di perkampungan terjejas kemarau. 
LORI tangki Majlis Daerah Beluran yang terlibat pengagihan bekalan air bersih di perkampungan terjejas kemarau. 

SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini telah memulakan penyaluran bantuan bekalan air bersih ke beberapa kampung di Kinabatangan yang terjejas ekoran kemarau. 

Ketua Pegawai APM Sandakan Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel ketika dihubungi berkata penyaluran bekalan bermula Khamis hingga Jumaat itu menggunakan dua buah lori, masing-masing sebuah dari APM dan sebuah lagi dari Majlis Daerah Kinabatangan. 

Katanya, setakat ini dua kampung di Kinabatangan terjejas akibat kemarau iaitu Kampung Sungai Lokan dan Kampung Balat yang melibatkan sebanyak 128 keluarga. 

"Sementara bagi Sandakan, beliau berkata bekalan air bersih akan disalurkan ke kampung terjejas pada Ahad ini. 

"Setakat ini, sembilan kampung di Sandakan direkodkan terjejas ekoran kemarau iaitu Semawang, Sungai Tiram, Bit Bim, Dandulit, Sungai Beruang, Kuala Gum-Gum, Banting, Lalasun dan Sungai Monyet yang melibatkan sebanyak 630 keluarga," katanya. 

Ahmad Roslan berkata, dua kampung di Telupid juga telah terjejas akibat kemarau iaitu Kampung Lumou dan Kampung Masumba yang melibatkan 27 keluarga. 

Bagaimanapun, tambahnya, bekalan air bersih bagi kampung yang terjejas di Telupid telah disalurkan 25 Februari lalu menggunakan lori tangki Majlis Daerah Beluran.

Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Sabah meramalkan cuaca panas dan kering yang melanda Sabah ketika ini akan berterusan sehingga ke penghujung bulan April. 

Jumlah hujan juga dijangka merosot 40 hingga 50 peratus di seluruh Sabah sepanjang bulan Mac khususnya di kawasan utara, Sandakan, Tawau dan pantai barat. 

Keadaan ini berkaitan dengan fenomena el-nino lemah yang diramal boleh berlaku dengan kebarangkalian antara 50 dan 60 peratus bermula Mei depan dengan kesannya hanya dirasai di Sabah dan utara Sarawak. 

  • oleh
  • Advertisement