Anda di sini

Minggu Kanser Suria dapat maklum balas positif

Advertisement
 Elyana bersama penyampai Suria selepas temubual khas Minggu Kanser Suria baru-baru ini.
TURUT SERTA: Elyana bersama penyampai Suria selepas temubual khas Minggu Kanser Suria baru-baru ini.

MINGGU Kanser Suria yang berlangsung bermula pada 25 Februari lepas mendapat sokongan dan maklum balas positif daripada pendengar.

Pendengar yang hadir disajikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti informasi dan PSA mengenai penyakit-penyakit kanser dan perkongsian kisah melawan kanser daripada tetamu jemputan seperti selebriti Elyana, wartawan hiburan Fiza Kamarudin dan Rudy Imran serta beberapa orang ‘cancer survival’.

Penyampai-penyampai Suria seperti Issey, Fizi Ali, Sharifah Shahirah, Tyzo, Suraya dan DJ Lin turut berkesempatan melakukan lawatan ke Wad Penjagaan Harian di Institut Kanser Negara (IKN) pada 26 Februari yang lepas dan mengagihkan pek penjagaan kebersihan kepada pesakit-pesakit serta beramah mesra bersama mereka.

Tetamu jemputan iaitu Dr Hafizah Zaharah Ahmad yang merupakan Pakar Onkologi di Institut Kanser Negara turut menyata pandangan tentang kelebihan pengisian Minggu Kanser Suria ini di mana ia memberi inspirasi dan kekuatan kepada semua pesakit dan ahli keluarga pesakit yang berhadapan dengan kanser.

“Mesej yang hendak disampaikan adalah anda tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Jangan biarkan kanser membunuh harapan, kerana ia tidak akan dapat membunuh persahabatan, tidak akan mendiamkan keberanian, tidak akan menembusi jiwa dan juga tidak akan menewaskan semangat,” kata Dr Hafizah.

Malah, Elyana yang ditemubual di segmen Suria Petang turut memuji inisiatif Suria dalam memberikan informasi tentang penyakit kanser kepada orang ramai dan menjemput pesakit-pesakit kanser sebagai tetamu bagi berkongsi kisah sekaligus memberikan motivasi dan semangat positif kepada pesakit kanser di luar sana.

Terbaru, sempena menyambut Hari Wanita Sedunia, Suria lagi sekali menawarkan pengisian menarik menerusi segmen Team Pagi Suria di mana penyampai Fizi Ali dan Issey akan menemuramah beberapa orang selebriti wanita yang berbeza bidang karier mereka dalam Minggu Bunga Suria.

Dengarkan perkongsian daripada tetamu jemputan antaranya Heliza Helmi (Penyanyi & Sukarelawan), Tyra Kamarulzaman (Usahawan Muda & ‘Influencer’), Leftenan Maritim Aida Azahari (Pegawai Pemerintah KM Nyalau), Soffwany Yusoff (Pegawai Polis & Penyanyi) dan beberapa orang selebriti wanita lain menerusi segmen Team Pagi Suria setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi bermula 4 Mac.

Dapatkan juga maklumat dan perkembangan terkini berkenaan Suria di laman web Suria www.suria.mydan juga laman sosial Facebook, Instagram & Twitter SuriaFMMalaysia.

Gunakan #SuriaMalaysia untuk sebarang interaksi berkaitan dengan Suria di laman sosial.

Advertisement