Anda di sini

'Jangan samakan PETROS dengan 1MDB'

Advertisement
Abang Johari berucap merasmikan Limbungan Fabrikasi Demak di Jalan Bako dekat Kuching hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyangkal laporan sebuah laman web yang menyamakan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan 1Malaysia Developmet Berhad (1MDB). 

Abang Johari ketika berucap pada perasmian Limbungan Fabrikasi Demak di Jalan Bako dekat sini hari ini, menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar dan berniat jahat. 

“PETROS adalah tidak sama dengan 1MDB seperti yang ditulis oleh laman web berkenaan. PETROS adalah badan berkanun. Seperti yang saya katanya, kita mempunyai pengurusan yang telus dan PETROS hanya sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak untuk memastikan orang Sarawak dapat menyertai sektor huluan dan hiliran industri minyak dan gas. 

“Tidak ada perkara seperti itu sama seperti 1MDB. Laman web tersebut berniat jahat,” tegasnya menambah Kerajaan Sarawak adalah bertanggungjawab dan telus. 

Artikel bahagian pertama dikeluarkan oleh sebuah portal industri gas dan minyak yang menyebut PETROS diwujudkan sebagai alat untuk menyedut wang minyak. 

Artikel tersebut turut mempersoalkan bagaimana PETROS, sebuah syarikat tanpa pengetahuan sektor minyak dan gas bermatlamat untuk mengambil alih peranan PETRONAS di Sarawak. 

Mengenai perasmian Limbungan Fabrikasi Demak hari ini, Abang Johari berharap ia akan menjadi sebuah limbungan fabrikasi terbesar di Sarawak dan mampu menyempurnakan semua tugas yang diberikan kepada Limbungan Brooke. 

“Limbungan Fabrikasi Demak ini mempunyai kapasiti 16,500 tan metrik berbanding 8,500 tan metrik dari Limbungan Sejingkat dan menjadikan keseluruhan kapasiti Limbungan Brooke kepada 25,000 tan metrik setahun,” katanya. 

Selain perasmian Limbungan Fabrikasi Demak pada keluasan tanah 60 ekar, majlis hari ini turut menyaksikan pemuatan Substruktur Bokor D dan penyiapan Projek Topside Anjung bagi PETRONAS Carigali Sdn Bhd. 

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian Malaysian Book of Records kepada Limbungan Brooke  sebagai organisasi pertama menerima ISO 45001:2018 Sistem Pengurusan Keselamatan dan Pekerjaan. 

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Limbungan Brooke dan Kerja-Kerja Kejuruteraan, Datuk Abdul Karim Tun Openg dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Mazuin Ismail. 

  • oleh
  • Advertisement