Anda di sini

Kisah legenda Dayang Isah Tandang Sari

Advertisement
 Makam Dato Godam, antara sejarah yang terdapat di Pusa.
BERSEJARAH: Makam Dato Godam, antara sejarah yang terdapat di Pusa.
 Kewujudan Makam Dayang Isah Tandang Sari Tanah Perkuburan Kampung Kalok di Pusa membuktikan wujudnya legenda itu.
TARIKAN RAMAI: Kewujudan Makam Dayang Isah Tandang Sari Tanah Perkuburan Kampung Kalok di Pusa membuktikan wujudnya legenda itu.
 Eki bersama isterinya ketika ditemui di kediaman mereka.
KONGSI: Eki bersama isterinya ketika ditemui di kediaman mereka.

PUSA: Dayang Isah Tandang Sari merupakan legenda yang sinonim dengan masyarakat Pusa atau mereka yang berkunjung ke kawasan itu.

Namun, mungkin tidak semua yang mengetahui kisah di sebalik cerita Dayang Isah yang kini makamnya terletak di Tanah Perkuburan Kampung Kalok, Pusa.

Kewujudan makam berkenaan menjadi bukti wujudnya legenda itu di sini.

Untuk itu, pemberita Kembara Utusan Borneo dan The Borneo Post (BAT) 2019 menemu bual salah bekas Penghulu Pusa, Eki Daud.

Menurut Eki ketika ditemui di kediamannya di sini, Dayang Isah merupakan seorang wanita yang sangat cantik dan memiliki kulit yang sangat putih dan cerah sehingga menampakkan pinang yang ditelan dari kerongkongnya.

“Dayang Isah ini, ramai lelaki berebutnya sama ada lelaki tempatan mereka yang datang dari luar. Kalau sudah melihatnya pasti tertarik dan tepegun dengan kecantikannya.

“Malahan mereka yang datang dari Minangkabau dan Indonesia juga akan tertarik hati apabila bertemu dengan Dayang Isah,” katanya.

Tambah Eki, 86, bagaimanapun menurut cerita Dayang Isah dibunuh dengan tujuh utas tali di lehernya kerana beliau tidak boleh dibunuh menggunakan senjata lain.

Katanya, Dayang Isah kemudian dikuburkan di sebuah perkuburan di Pusa.

“Namun pada satu ketika apabila ada orang putih datang melihat makam Dayang Isah dikatakan dia masih seperti hidup dan tidak buruk jasadnya (masih cantik),” katanya.

Menariknya kata Eki, menurut cerita juga, setiap kali hujan dikatakan makam Dayang Isah tidak akan basah.

“Orang kampung yang biasanya mencari ketam di kawasan sekitar menyatakan sekiranya berlaku hujan, makam Dayang Isah tidak akan basah,” ujarnya.

Menurut legenda, Dayang Isah bagaikan puteri kepada mereka dan pada suatu ketika dahulu, Temenggung Pangeran Abdul Kadir telah menjumpai buluh untuk dijadikan alas ketika tidur.

Namun keajaiban telah berlaku apabila buluh itu bertukar menjadi telur dan menetaskan bayi dan mengambilnya sebagai anak.

Apabila meningkat remaja, Dayang Isah Tandang Sari menjadi seorang yang sangat cantik dan memiliki kulit yang sangat putih dan cerah sehingga menampakkan air sirih dari kerongkongnya.

Beliau juga mempunyai suara yang sangat merdu sehingga digilai ramai pemuda dan jejaka pada masa tersebut.

Selain itu, pasukan kembara juga turut mengunjungi Makam Dato Godam yang juga terkenal dari segi sejarah di Pusa.

Menurut sejarah Dato Godam seorang putera kepada bendahara negeri Pagar Ruyung, Minangkabau yang datang merantau ke Borneo sekitar tahun 1690-1710 semasa era pemerintahan Sultan Nasruddin (Sultan Brunei ke-15).

Ayah beliau, Datuk Bendahara Harun/Bendaro Harun Datuk Bendahara Ismail merupakan anggota ‘Basa Ampek Balai’ yang menjalankan pentadbiran kerajaan bersama-sama Raja Alam, Raja Adat dan Raja Ibadat.

Ibu Dato Godam pula ialah seorang wanita Belanda iaitu anak kepada Jan Van Groenewegen yang ditugaskan di pejabat VOC sebagai Residen Belanda di Padang, Sumatera Barat pada tahun 1662.

Dato Godam datang ke Borneo untuk berdagang setelah dipertikaikan pertabalan menjadi pengganti ayahnya kerana ibunya bukan keturunan diraja Minangkabau.

Advertisement