Anda di sini

Kedah bakal pengeluar durian varieti tinggi

Advertisement
 Azman (dua kanan) bersama Eliyas (tiga kanan) menikmati durian Musang King sempena Pesta Durian 2019 di pekarangan Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama
MENIKMATI DURIAN: Azman (dua kanan) bersama Eliyas (tiga kanan) menikmati durian Musang King sempena Pesta Durian 2019 di pekarangan Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Kedah bakal menjadi antara pengeksport durian bervarieti tinggi seperti Musang King, Duri Hitam dan D24 apabila projek tanamannya di Kulim, Sik serta Baling mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri Azman Nasrudin berkata sehingga kini, 30 petani di negeri ini sudah mula menanam pokok durian jenis itu di tanah seluas 50 hektar sejak tahun lalu.

Beliau berkata projek itu yang dijalankan dengan pemantauan dan bimbingan daripada Jabatan Pertanian Negeri, dijangka mampu mengeluarkan durian sekitar 1,500 tan metrik per hektar dengan setiap hektar dijangka menghasilkan sebanyak 30 tan metrik.

Daerah Kulim, Sik dan Baling dipilih berikutan bentuk muka bumi serta tanah yang sesuai selain menggalakkan petani di  Kubang Pasu, Padang Terap dan Yan untuk terlibat dengan tanaman durian jenis ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Durian 2019 di pekarangan Stadium Darul Aman di sini, semalam.

Dalam pada itu, Azman berkata kerajaan negeri mengalu-alukan lebih ramai lagi pemilik dusun di negeri ini membuat pemulihan semula dusun dengan beralih kepada pokok durian yang mendapat harga dan permintaan yang tinggi.

Menurutnya Jabatan Pertanian Kedah sedia memberi bantuan kepada petani menerusi cantuman pokok dewasa agar pokok tidak mengambil masa lama untuk berbuah dan memberi pulangan yang tinggi kepada petani yang selama ini bergantung kepada durian kampung yang dijual murah.

“Projek ini dijangka dapat menyaingi Pahang yang kini menjadi pengeluar utama durian bervarieti tinggi dan Jabatan Pertanian sedia membantu memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada petani terlibat, agar meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita juga nak orang ingat bila nak makan durian Musang King boleh ke tiga daerah ini, kerana selama ini bila sebut Musang King mereka akan ke Balik Pulau, Pulau Pinang untuk menikmatinya,” katanya. — Bernama

Advertisement