Anda di sini

Bina badan: Buda menerima durian runtuh

Advertisement
 Abdul Karim menyerahkan cek insentif kepada Buda sambil disaksikan (dari kanan) Hii, Ong dan Villaivan di Kuching kelmarin.
INSENTIF: Abdul Karim menyerahkan cek insentif kepada Buda sambil disaksikan (dari kanan) Hii, Ong dan Villaivan di Kuching kelmarin.

KUCHING: Jaguh bina badan Sarawak, Buda Anchah menerima durian runtuh daripada kerajaan negeri berupa wang tunai berjumlah RM8,000 sebagai insentif kejayaan beliau pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia Ke-10 di Chiang Mai, Thailand, Disember lalu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan sendiri cek insentif tersebut di pejabatnya, Bangunan Baitul Makmur di sini kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee dan Koordinator Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Villaivan Jee Edmond.

Dalam kenyataan ringkas, Abdul Karim berkata pemberian insentif tersebut sebagai menghargai sumbangan besar Buda dalam arena bina badan negara khususnya di Sarawak.

Selain itu, ia juga bagi menyuntik semangat atlet bina badan baharu agar terus berusaha dengan gigih mengikuti jejak kejayaan Buda.

Buda yang kini bertugas di bawah PSS menyumbang pingat emas untuk negara dalam kategori masters 40-49 tahun sehingga 80kg pada kejohanan antarabangsa itu.

Bekas kakitangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu turut merangkul perak dalam kategori Lightweight (70 kilogram).

Ini merupakan pingat emas kedua Buda pada kejuaraan dunia selepas kejayaannya di Budapest, Hungary pada 2013.

Pingat perak dunia beliau juga merupakan yang kedua diraih selepas kejohanan di Mumbai, India yang berlangsung pada 2014.

Advertisement