Anda di sini

Pantai Iftitah, produk pelancongan kian menjadi kebanggaan Belawai

Advertisement
Pemandangan Iftitah dari udara.
Pemandangan Iftitah dari udara.

BELAWAI: Hembusan angin dari Laut China Selatan yang begitu menyegarkan di Pantai Iftitah seolah-olah menyapa mesra kehadiran kami ke sebuah perkampungan nelayan, Belawai yang terletak kira-kira 22 kilometer dari bandar Tanjung Manis.

Kami terpegun dengan keindahan pantai ditambah dengan kemudahan penginapan serta restoran berkualiti yang disediakan pemilik Iftitah, Ibnee Ekni kepada para pengunjung.

Setelah menempuh perjalanan setengah hari, keindahan dan ketenangan alam semulajadi di situ mampu menghilangkan kepenatan.

Pasukan Kembara Utusan Borneo dan The Borneo Post (BAT 2019) tiba di Pantai Iftitah kira-kira pada pukul 5.30 petang, Sabtu, selepas bertolak dari Pusa pada pukul 12 tengah hari.

Iftitah, sesuai bagi mereka yang cintakan ketenangan.
Iftitah, sesuai bagi mereka yang cintakan ketenangan.

Iftitah mungkin sudah lama meniti di bibir warga dari kawasan tengah Sarawak. 

Ibnee yang merupakan warga Belawai dan merupakan kaunselor Majlis Daerah Matu-Daro, menceritakan kepada BAT 2019, idea untuk membuka restoran dan chalet di pantai Belawai itu direalisasikannya pada 1 Januari 2015.

Pada tarikh itu, beliau cuma menawarkan penginapan berbentuk perkhemahan kepada para pengunjung. Restoran cuma mula beroperasi pada 4 Februari 2015.

Tukang masak berpengalaman yang mempunyai sebuah restoran di Tanjung Manis itu, mengembangkan perniagaannya sedikit demi sedikit dengan modal RM200,000.

"Saya tidak membuat pinjaman daripada bank atau mana-mana agensi kerajaan. Takut tidak dapat tidur malam kalau perniagaan mengalami kerugian," jelasnya yang kini mampu tersenyum dengan sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

Ibnee Ekni
Ibnee Ekni

Iftitah menawarkan 18 bilik tidur dalam bentuk chalet, kabin dan asrama. Jumlah itu katanya akan bertambah 21 bilik mulai April.

Harga penginapan bermula RM90 hingga RM250. Kebanyakan pengunjung merupakan warga Sibu yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Belawai.

Ia memang sesuai untuk dijadikan tempat bercuti bersama keluarga dengan aktiviti yang boleh dicuba seperti banana boat, berkhemah, paint ball dan karaoke.

Iftitah turut menawarkan tempat mesyuarat yang berupaya menampung 40 orang. 

"Tahun depan saya bercadang hendak membuka tempat mesyuarat lebih besar yang mampu memuatkan 200 orang," jelasnya yang dibantu 14 pekerja.

Makanan lazat pada harga berpatutan menarik kehadiran pengunjung.
Makanan lazat pada harga berpatutan menarik kehadiran pengunjung.

Mengenai menu makanan, restoran Iftitah menyajikan masakan lazat dengan harga berpatutan.

Antara hidangan yang wajib dicuba, Mi Racun, Nasi Richa Richa, Nasi Puteri Kayangan dan Laksa Iftitah.

Bilik penginapan yang berhadapan dengan pantai.
Bilik penginapan yang berhadapan dengan pantai.

Pada Sabtu dan Ahad ia dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 9.30 malam, manakala pada hari bekerja ia beroperasi mulai 10 pagi hingga 9.30 malam.

Untuk tempahan, orang ramai boleh menghubungi 013-8390202.

Iftitah dari udara.
Iftitah dari udara.
Pemandangan senja di Pantai Iftitah yang menggamit perasaan.
Pemandangan senja di Pantai Iftitah yang menggamit perasaan.
  • oleh
  • Advertisement