Anda di sini

Bekalan air Labuan masih mencukupi meski cuaca kering

Advertisement

LABUAN: Bekalan air di pulau bebas cukai ini masih mencukupi meskipun keadaan cuaca kering pada masa sekarang.

Simpanan air di pulau ini masih ada 29 peratus, yang tertinggi di negara, dan langkah penjimatan air bagi pengguna tempatan dan komersial di sini masih tidak diperlukan.

Pengarah Jabatan Air Labuan, Alvin Michael Lo berkata, kapasiti pengeluaran air di Labuan ialah 100mld, sedangkan permintaan daripada lebih 100,000 isi rumah termasuk dari zon industri baru 71mld.

Bagaimanapun, jika keadaan cuaca kering pada masa sekarang berlanjutan hingga memburukkan  keadaan, dan menyebabkan paras Sungai Padas turun hingga bawah 0.2 meter, ia akan menjejaskan bekalan air di pulau ini.

“Loji air Labuan di Lawa Gadong, Beaufort di tanah besar akan terjejas sekiranya paras Sungai Padas  turun dengan mendadak,” katanya kepada Bernama semalam.

Labuan masih mendapat bekalan air dari tanah besar menerusi Sungai Padas, Beaufort melalui paip  bawah laut yang disalurkan terus ke empangan di Pulau Enoe.

Menerusi kenyataan yang diterima Bernama, jabatan berkenaan mengesahkan paras air di Sungai  Padas, Beaufort telah turun bawah satu meter dan empangan air di Labuan juga turun dengan ketara.

“Sekiranya Sungai Padas terus turun, ia akan menjejaskan bekalan air di seluruh pulau ini…  Minta  diingatkan bahawa cuaca kering ini mungkin mempengaruhi bekalan air, pengguna hendaklah  sentiasa  menghubungi jabatan kami untuk mendapatkan bantuan sekiranya mereka memerlukan bekalan air,” katanya.

Labuan mula menghadapi kekurangan bekalan air sejak beberapa tahun lepas pada 2009, hingga  dilaksanakan catuan yang melibatkan penduduk di 27 kampung di pulau ini, dan berikutan masalah bekalan air itu, Loji 1 Petronas Methanol terpaksa ditutup tetapi beroperasi semula beberapa bulan selepas itu.

Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah (UMSKAL) dan Kolej Matrikulasi Labuan  masing-masing dengan lebih 5,000 dan lebih 2,000 pelajar pada masa itu mengalami ketidakselesaan apabila bekalan air ke hostel mereka mengalami keadaan kritikal dan mereka terpaksa bergantung kepada lori tangki air dari Jabatan Air berkenaan.

Kekurangan air itu amat genting hingga beberapa pensyarah dilaporkan meminta dipindah keluar dari Labuan.

Beberapa pelajar hinggakan berkata: “Sesiapa yang bangun awal dapatlah mandi (sebelum air habis) dan yang paling teruk ialah tandas berbau kerana tiada air untuk dijirus”.

Krisis air pada ketika itu menyebabkan hampir seribu pelajar universiti mengadakan bantahan berjam-jam di hadapan bangunan universiti dan mendesak kerajaan segera menyelesaikan masalah air. — Bernama

Advertisement