Anda di sini

Sukan lahirkan pelajar cergas dan cerdas

 Huang (empat kanan) menyampaikan plak kepada pasukan yang bertanding.
SELAMAT BERTANDING: Huang (empat kanan) menyampaikan plak kepada pasukan yang bertanding.

SARIKEI: Bidang sukan merupakan platform terbaik untuk melahirkan pelajar yang cergas dan cerdas.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei Lau Ngie Tung berkata, pelajar yang cergas dan cerdas terhasil menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot dan emosi.

“Bersukan akan mampu membentuk seseorang pelajar itu menjadi cerdas, patuh dengan arahan dan secara tidak langsung akan membentuk seorang atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan.

“Aktiviti sukan juga merupakan satu langkah yang tepat untuk mencapai matlamat pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan setiap murid yang sihat mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.

“Langkah ini juga bukan hanya mampu mengembalikan kemeriahan bersukan dan merapatkan persahabatan dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat malahan pendekatan ini akan menjadi pemangkin ke arah kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya.

Lau berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan Penolong PPD Sarikei Faustino pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS) Bahagian Sarikei Ke-45, semalam.

Kejohanan di Kompleks Sukan Sarikei itu telah disertai 13 sekolah menengah dari tiga daerah dalam kategori sekolah rendah.

Menurut Lau, kejohanan yang dianjurkan kali ini tidak semata-mata untuk menentukan juara dan pemenang, tetapi ia memberi lebih penekanan bahawa kejayaan itu hanya boleh dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengerobanan.

Katanya, kegitan sukan juga akan menjadi benteng kepada para pelajar agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang tidak sihat.

“Melalui latihan persiapan mental, seseorang atlet itu dilatih agar mempunyai daya saing dan semangat yang tinggi.

“Kita perlu sedar, bahawa melalui bersukan akan mampu membangunkan modal insan yang berkualiti dan insan yang memiliki minda kelas pertama yang akan menjadi peneraju  negara pada masa depan,” tegasnya.

Sebanyak 27 acara dipertandingkan pada kejohanan berkenaan.Turut hadir Penghulu Huang Tiong Kang yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii.

Tuan Rumah pada kejohanan kali ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei.

Turut hadir Pengetua SMK Tinggi Sarikei Ting Sing Teck.