Anda di sini

Pameran Auto Malaysia sasar jualan RM250 juta

Advertisement
 Darell (dua kiri) diiringi Phang (kanan), Lokman (kiri) dan Madani (dua kanan) melancarkan Pameran Auto Malaysia 2019 pada Perhimpunan Bulanan MITI dan Agensi di Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Darell (dua kiri) diiringi Phang (kanan), Lokman (kiri) dan Madani (dua kanan) melancarkan Pameran Auto Malaysia 2019 pada Perhimpunan Bulanan MITI dan Agensi di Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

CYBERJAYA: Pameran Auto Malaysia 2019 atau ‘Malaysia Autoshow’ menyasarkan transaksi jualan kira-kira RM250 juta pada acara itu yang akan diadakan pada 11-14 April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata acara empat hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang dekat sini, juga dijangka mampu menarik kehadiran seramai 350,000 pengunjung.

“Pameran Auto Malaysia kekal sebagai komponen penting tahunan dalam kalendar automotif. Ia membolehkan penyertaan maksimum rakyat negara ini dalam sektor automotif menerusi pameran serta penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Pameran Auto Malaysia 2019 yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking bersempena perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, semalam.

Bertemakan ‘Mobiliti Untuk Semua’, edisi 2019 acara itu bakal menampilkan model kenderaan terkini, mengetengahkan pencapaian teknologi, keselamatan dan keselesaan kenderaan yang dijual di pasaran tempatan serta aliran terbaharu industri tersebut.

Madani berkata kira-kira 100 kereta serta varian daripada pelbagai pengeluar peralatan tulen dijangka dipamerkan pada acara itu termasuk model kenderaan cekap tenaga terbaharu.

Acara itu turut memaparkan siri gaya hidup dan penalaan kereta terbesar di ASEAN - ‘International Automodified’ (Pengubahsuaian Antarabangsa) yang menampilkan kereta yang diubah suai dan dengan rekaan khusus.

“Pameran itu juga mengetengahkan Dewan Mobiliti MARii yang mempamerkan keseluruhan rantaian nilai automotif daripada sudut kemasan dan reka bentuk sehinggalah kejuruteraan dan pengeluaran. Ia juga akan memaparkan visi ekosistem mobiliti Malaysia pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Darell turut mengumumkan lanjutan kontrak Madani sebagai CEO MARii pada perhimpunan bulanan tersebut. — Bernama

Advertisement