Anda di sini

Osman sah akan keluar dari PKR

Advertisement
OSMAN
OSMAN

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Balung Datuk Osman Jamal mengesahkan pendiriannya meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke parti kerajaan yang lain.

Pengesahan itu sekaligus menjawab teka-teki status terkini melibatkan hubungan bekas Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah terbabit dengan PKR.

Namun, Osman tidak mendedahkan status parti kerajaan yang akan disertainya dan sekadar memberitahu sebuah majlis rasmi parti itu akan diadakan di Kota Kinabalu.

“Tentang saya akan berpindah ke parti lain, sepatutnya berlangsung pada minggu ini, tetapi ada isu teknikal, jadi mungkin diadakan pada Isnin atau Selasa minggu hadapan.

“Saya akan ke Kota Kinabalu berjumpa dengan pemimpin (parti baharu yang akan disertainya) di sana,” katanya ketika diajukan soalan berkaitan perkara berkenaan.

Pemimpin itu ditemui pada sidang media sempena Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Daerah Tawau di Kompleks Sukan Tawau di sini pada petang Jumaat.

Pada minggu lepas, beliau tidak menolak kemungkinan akan berpindah ke parti baharu, dan ada khabar yang mengaitkannya dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Selain Warisan dan PKR, kerajaan hari ini turut ditunjangi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pertubuhan Bersatu Pasok-Momogun Kadazan (UPKO), serta Parti Amanah Negara (Amanah) dan terbaharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terdahulu, wakil rakyat itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Balung pada pilihan raya tahun lepas atas tiket Barisan Nasional (Umno) sebelum menyertai PKR.

  • oleh
  • Advertisement