Anda di sini

KPP sertai ekspo Foodex Japan 2019 di Jepun

Advertisement
MADIUS (empat dari kiri),  Madayem (lima dari kiri) dan Stephen (lima dari kanan) bersama pengusaha IKS menunjukkan produk makanan yang akan dipamerkan di Foodex Japan 2019.
MADIUS (empat dari kiri), Madayem (lima dari kiri) dan Stephen (lima dari kanan) bersama pengusaha IKS menunjukkan produk makanan yang akan dipamerkan di Foodex Japan 2019.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (KPP) telah mengambil keputusan untuk menghantar empat syarikat termasuk GLC untuk menyertai ekspo jualan dan pameran produk makanan dan minuman iaitu Foodex Japan 2019 kali ke-3 yang akan berlangsung bermula pada 5 hingga 8 Mac di Makuhari, Messe, Chiba, Jepun.     

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, empat syarikat dipilih itu adalah syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah iaitu Putera Enterprise, Twinine Sdn Bhd, Koperasi Pembangunan Desa (KPD) dan KFI Distribution Sdn Bhd yang akan mengetengahkan produk seperti seaweed crackers, makanan snack, serbuk lada putih dan sos makanan serta madu 'tantadan yang sudah mempunyai Sijil Halal.

    "Terdapat 3,500 syarikat 'trade profesional' akan menyertai ekspo ini dan 85,000 orang pembeli daripada seluruh negara dijangka hadir," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat di KPP, di sini hari ini.

    Turut hadir Setiausaha Tetap KPP Datuk Madeyam Layapan dan Pengarah DIDR Stephen Sampil.

    Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, penyertaan itu merupakan salah satu usaha KPP melalui Jabatan Pembangunan Penyelidikan Peindustrian (DIDR) membantu meningkatkan keupayaan usahawan makanan dan minuman tempatan menembusi pasaran di peringkat antarabangsa dan mewujudkan rakan niaga baharu serta menggalak eksport sekaligus meningkatkan nilai eksport Sabah keseluruhannya.

    "Saya ingin menegaskan bahawa ekspo ini merupakan satu platform 'business-to-business' (B2B) untuk mempromosi dan seterusnya memasarkan produk ke pasaran negara-negara Asia Timur dan negara jiran yang berhampiran," katanya.

    Beliau berkata, DIDR sebagai jabatan yang berperanan menarik pelaburan dan mempromosi produk Sabah ke pasaran global akan berpeluang menggunakan ekspo ini bagi mencapai sasaran salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) DIDR iaitu mengenalpasti sekurang-kurangnya 20 pelabur baharu setahun dengan mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan.

    "Penyertaan ini sebenarnya sudah menunjukkan hasil positif kerana melalui ekspo yang sama sebelum ini, terdapat dua syarikat tempatan iaitu Dong Sin Food Sdn Bhd telah mendapat tempahan daripada syarikat Kobe Bussan di Jepun yang mempunyai 777 buah 'outlets' di negara Jepun dan mengeksport lapan kontena berukuran 40 kaki bernilai lebih kurang RM500,000 untuk produk mee kering sejak tahun 2018.

    Syarikat kedua ialah Kimanis Food Industries Sdn Bhd telah mula mengeksport produk keropok bernilai RM50,000 sebulan ke Shanghai, China," katanya.

    Terkini bagi tahun 2019, MTI juga telah menghantar empat buah syarikat untuk menyertai Gulfood Dubai 2019 yang telah berlangsung pada 17 sehingga 21 Februari 2019 di World Trade Centre Dubai.

    Hasil penyertaan dalam ekspo tersebut, syarikat-syarikat berkenaan berjaya menerima tempahan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM9.58 juta yang melibatkan 23 buah kontena.

    Madius berkata, berdasarkan pencapaian lalu ekspo Foodex Japan dan Gulfood Dubai, dijangkakan ekspo Foodex Japan 2019 akan menyediakan platform yang lebih luas bagi IKS Sabah untuk memasarkan produk dan menembusi pasaran Asia Timur.

    "Malah, ianya merupakan satu kelebihan dan peluang yang cerah kepada syarikat IKS memandangkan permintaan produk halal adalah tinggi di Jepun terutamanya menjelang Sukan Olimpik 2000.

    Dijangka 40 juta pengunjung akan hadir yang sebahagiannya terdiri daripada pengunjung yang beragama Islam," katanya.

  • oleh
  • Advertisement