Anda di sini

Desak tindakan keras jika sentuh sensitiviti agama

Advertisement
OSMAN mendesak kerajaan ambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap individu yang didapati menyentuh sensitiviti agama dengan sewenang-wenangnya.
OSMAN mendesak kerajaan ambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap individu yang didapati menyentuh sensitiviti agama dengan sewenang-wenangnya.

TAWAU: Kerajaan digesa mengambil tindakan keras terhadap pelaku yang disahkan bersalah cuba memancing kemarahan rakyat dengan menyentuh sensitiviti agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Osman Jamal percaya perbuatan orang yang tidak memahami Islam tetapi menghina Nabi Muhammad amat tidak wajar.

“Kerajaan patut ambil tindakan sekeras-kerasnya untuk mengelak hal sebegini daripada dibiarkan terus berleluasa dan kita perlu menghentikannya sama sekali.

“(Perbuatan) orang begitu (menyentuh sensitiviti agama orang lain) perlu dihentikan dan tindakan perlu diambil supaya menjadi pengajaran,” katanya, di sini pada Jumaat.

Osman akui turut bimbang dengan kesan perbuatan sedemikian yang walaupun hanya libatkan seorang atau dua pelaku, tetapi boleh mengakibatkan ada ‘nyawa melayang’.

Menurutnya, perbuatan menghina nabi misalnya tidak sepatutnya timbul, lebih-lebih lagi Islam agama terbesar di Malaysia yang dianuti oleh majoriti rakyat di negara ini.

Semasa berucap pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Daerah Tawau, beliau berharap guru-guru terus memainkan peranan memupuk perpaduan.

“Perpaduan antara kaum menjadi kunci kejayaan Malaysia selama ini dan rakyat tidak seharusnya alpa dengan nikmat perpaduan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

“Sukan adalah indikator terbaik untuk semangat perpaduan yang dicapai tanpa mengira warna kulit malah menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement