Anda di sini

Bot pancung terbalik ketika dalam pelayaran dari selatan Filipina ke Sandakan

Advertisement
ANGGOTA TLDM CB 90 menyelamatkan lima mangsa bot pancung karam di perairan Sandakan.
ANGGOTA TLDM CB 90 menyelamatkan lima mangsa bot pancung karam di perairan Sandakan.
KELIMA-LIMA mangsa sedang menerima rawatan sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent.
KELIMA-LIMA mangsa sedang menerima rawatan sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent.

SANDAKAN: Setelah 18 jam terapung di laut, lima mangsa bot karam berjaya diselamatkan, manakala enam lagi dikhuatiri lemas selepas bot pancung yang dinaiki karam dipukul ombak di perairan Laut Pulau Nunuyan, petang Khamis.

Mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita itu dilihat melambai ke arah Bot Tempur (CB 90) 217 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di sekitar 5 batu nautika Timur Laut Pulau Nunuyan, Sandakan.

CB 90 berpangkalan di Sandakan yang sedang membuat rondaan dan latihan di perairan Sandakan kemudian bergegas menyelamatkan lima mangsa terapung dan melambai-lambai ke arah mereka, kira-kira jam 12.00 tengah hari Jumaat.

Kelima-lima mangsa kemudian dibawa pulang ke Tambatan Pangkalan Sandakan untuk diberikan rawatan kecemasan.

Salah seorang mangsa, Idaris Ismail, berkata bot pancung yang mereka naiki dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina, menuju ke Sandakan telah terbalik akibat keadaan laut bergelora.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan kesemua 11 mangsa tercampak ke laut, kira-kira jam 6 petang Khamis.

Tekong bot gagal ditemui dan dipercayai lemas bersama lima lagi mangsa termasuk seorang bayi.

Kelima-lima mangsa diberikan rawatan kecemasan oleh Pasukan Perubatan daripada Hospital Duchess Of Kent (HDOK), Sandakan setiba di Tambatan Pangkalan Sandakan.

Kesemua mangsa yang berada dalam keadaan lemah kerana telah hanyut dan berpaut pada bot yang terbalik lebih 18 jam itu dan mereka seterusnya dibawa ke HDOK untuk diberikan rawatan.

Dalam pada itu, Operasi Mencari dan Menyelamat telah diaktifkan bagi mencari enam mangsa yang dipercayai dihanyutkan arus dan satu mayat telah berjaya dijumpai kira-kira jam 4 petang.

Operasi Mencari dan Menyelamat turut disertai oleh aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.

  • oleh
  • Advertisement