Anda di sini

Batalion 20 PGA letak satu platun di RCP Beluran

Advertisement
RATAN Kumar penyematan pangkat Inspektor kepada salah seorang pegawai sambil diperhatikan oleh Farhan Lee dan Zainuddin (kanan).
RATAN Kumar penyematan pangkat Inspektor kepada salah seorang pegawai sambil diperhatikan oleh Farhan Lee dan Zainuddin (kanan).

SANDAKAN: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) akan meletakkan satu platun di Pusat Pemeriksaan Darat atau road check point (RCP) di Beluran yang akan dibuka bulan ini.

Ini ekoran keputusan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan membuka sebuah lagi RCP di Beluran, yang terletak di kawasan Sapi Nangoh.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Asisten Komisioner (ACP) Ratan Kumar Singh S/O Jainu berkata, RCP itu akan beroperasi selama 24 jam bagi menyekat kemasukan elemen jenayah, termasuk penyeludupan barang dan pendatang asing tanpa izin (PTI) di daratan, terutama yang menggunakan ‘laluan tikus’.

“Satu platun atau lebih kurang 42 anggota Batalion 20 PGA akan diletakkan di RCP bagi menjalankan tugas pemeriksaan dan kawalan untuk menyekat pergerakan penjenayah melalui Jalan Sandakan-Telupid atau Sandakan -Sapi Nangoh bagi melakukan jenayah,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan Esscom kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat pemeriksaan di laut (SCP) bagi memeriksa kapal yang melalui perairan Pantai Timur Sabah, Ratan Kumar berkata setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa arahan lanjut mengenai cadangan itu.

“Sekiranya SCP ini dijalankan dan pihaknya diarahkan terlibat, Batalion 20 PGA juga akan menghantar anggota sebagai usaha meningkatkan kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah khususnya di daerah Beluran dan Sandakan.

“Kita akan terlibat secara lanjut dalam membuat rondaan di perairan bagi mengesan bot-bot yang membawa PTI, aktiviti penyeludupan barang dan lain-lain jenayah lain. Pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka terlibat,” katanya.

Difahamkan, Esscom sudah mengenal pasti lima tempat untuk membangunkan SCP.

Di samping itu, Esscom turut mencadangkan agar kerajaan mewartakan laluan untuk kapal komersial bagi memudahkan pemeriksaan pasukan keselamatan terhadap kapal-kapal yang melalui perairan di Pantai Timur Sabah.

Ratan Kumar menegaskan setakat ini kita nampak kawalan keselamatan di kawasan Beluran terutama sekali perairan Beluran adalah selamat, tiada apa-apa kejadian yang menarik perhatian setakat ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulangtahun Penubuhan Batalion 20 PGA Beluran ke-5 tahun 2019 di Perkarangan Ibu Pejabat Batalion 20 PGA di Labuk Commercial & Business Centre Batu 12 Jalan Labuk, pagi tadi.

  • oleh
  • Advertisement