Anda di sini

Usahawan disaran teroka peluang baharu luar negeri

Advertisement
TETAMU undangan majlis itu merakamkan kenangan bersama Azhar (tengah) dan Asnimar (empat kiri). Turut kelihatan Pengiran Saifuddin (dua kanan).
TETAMU undangan majlis itu merakamkan kenangan bersama Azhar (tengah) dan Asnimar (empat kiri). Turut kelihatan Pengiran Saifuddin (dua kanan).

KOTA KINABALU: Usahawan di negeri ini disaran meneroka peluang baharu dengan menggunakan platform pasaran luar negeri.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Azhar Matusin berkata, golongan berkenaan perlu keluar dari tradisi yang hanya menumpukan kepada pasaran dalam negeri.

Menurutnya, tumpuan kepada pasaran negara Asean adalah satu langkah bijak memandangkan 15 peratus daripada penduduk Asean berstatus kelas menengah iaitu mempunyai kuasa membeli yang tinggi.

"Justeru, kita harus melihat perkara ini sebagai peluang perniagaan yang perlu diterokai dan mampu menjana pendapatan yang tinggi kepada usahawan di Sabah.

"Semua pihak sama ada agensi kerajaan atau ahli perniagaan perlu menggembleng tenaga serta idea untuk membawa perubahan secara bersepadu dan komprehensif.

"Usaha ini bagi mengekang apa juga ancaman atau persekitaran yang semakin mencabar," katanya ketika berucap merasmikan program Brave Talk Show Sempena Majlis Pelancaran Momprenuer Sabah hari ini.

Beliau berkata, usahawan juga perlu lebih bersedia, peka dan responsif mengikut perkembangan semasa berikutan perkembangan aktiviti perdagangan yang semakin pesat.

Azhar berkata, kesedaran dalam meraih peluang perniagaan yang lebih luas perlu ada dalam diri usahawan bagi memperolehi hasil proses liberalisasi dalam negara.

Dalam pada itu, beliau turut melihat pendekatan baharu dunia perniagaan yang dijalankan oleh syarikat bumiputera seperti Momprenuer Sabah, Brave, Avanus Store dan Tamuku sebagai platform terbaik dalam memperkasakan golongan usahawan wanita bumiputera.

"Kita perlu mengenal pasti syarikat bumiputera untuk diketengah dan ditransformasikan sebagai ikon kebanggaan negeri Sabah.

"Langkah ini bertujuan mendorong golongan usahawan supaya lebih berdaya tahan dan kompetitif dengan memberi nilai tambah tinggi kepada perusahaan mereka," jelasnya.

Majlis berkenaan dianjurkan bersama oleh Momprenuer Sabah, Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa) Sabah dan Sedcovest Holdings Sdn Bhd iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri.

Menurutnya, menerusi program itu, ia dapat mengumpulkan para usahawan dan golongan wanita profesional seterusnya mewujudkan ruang intelek dan perbincangan yang proaktif.

Pada masa sama, jelasnya, ia turut membuka peluang dan potensi perniagaan, mengembangkan budaya penerokaan ilmu selain saling bertukar idea dalam kalangan usahawan.

Turut hadir, Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd Datuk Asnimar Sukardi dan Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) Datuk Pengiran Saifuddin Pg Tahir.

  • oleh
  • Advertisement