Anda di sini

Salah faham pesanan makanan, 5 lelaki serang restoran, pekerja

Advertisement
Stanley melawat premis restoran hari ini.

SIBU: Akibat tidak puas hati dengan makanan yang dihidang tidak seperti yang dipesan, sekumpulan lelaki bertindak merosakkan pelbagai barangan sebuah restoran di Jalan Pahlawan di sini, Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, lima lelaki yang berumur antara 18 hingga 31 tahun itu ditangkap sejurus laporan diterima berhubung kejadian. 

Katanya, kejadian pukul 9.30 malam itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara pelayan restoran dengan suspek berhubungan pesanan makanan.

"Siasatan awal pihak polis mendapati tiga suspek lelaki dipercayai berada dalam pengaruh alkohol ketika bertindak merosakkan barang barang di dalam premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemilik restoran, 56, yang dimaklumkan oleh pekerjanya mengenai kejadian itu bergegas ke restoran sebelum mendapati semua meja, kerusi, peti sejuk, dinding dan bahagian kaunter juruwang dirosakkan sehingga menyebabkan kerugian anggaran RM20,000.

"Seorang pekerja lelaki mengalami kecederaan di bahagian muka dipercayai dipukul dengan penyapu," katanya.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian juga mendapati dua lagi suspek turut terlibat bersama merosakkan barangan.

"Pihak polis yang bertindak atas maklumat telah berjaya mengesan dan menangkap semua suspek terbabit," katanya dan menambah sebatang penyapu dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dirampas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera.

Kesemua lima suspek ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan.
 

  • oleh
  • Advertisement