Anda di sini

Nanas tuaian emas, ruang pasaran terbuka luas

Advertisement
 David (kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kiri), Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Serembu, Miro Simuh (kanan) ketika tuaian pertama nanas premium di ladangnya pada  Januari lalu. — Gambar Muhd Rais Sanusi
TUMPUAN: David (kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kiri), Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Serembu, Miro Simuh (kanan) ketika tuaian pertama nanas premium di ladangnya pada Januari lalu. — Gambar Muhd Rais Sanusi

BUAH nanas bukan hanya enak dimakan tetapi juga mempunyai seribu macam kegunaan lain dari isi buahnya hingga ke daunnya.  

Bagaimanapun tidak semua yang menggemari nanas berminat untuk menanam atau mengusahakan sendiri tanaman nanas.

Namun David Disam ada sebab sendiri mengapa beliau memilih untuk mengusahakan tanaman nanas dan bukannya tanaman komersial lain seperti kelapa sawit.

“Mesti ramai bertanya apa yang membuatkan saya memilih tanaman nanas dan bukannya kelapa sawit.

“Minat untuk mengusahakan tanaman nanas ini timbul selepas saya menyertai kursus tanaman nanas anjuran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Dewan Suarah Bau pada Disember  2015.

“Pada Februari 2016, saya dibawa menyertai rombongan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Anthony Nogeh Gumbek melawat Kulim Berhad Plantation di Johor Baharu untuk melihat potensi tanaman nanas.

“Kemudian pada Mei 2016 saya memulakan kerja-kerja pembersihan tanah yang dibeli di Kampung Padang Pan di Bau ini.

“Pada Disember 2016 benih tisu kultur yang pertama tiba manakala sulur nanas varieti premium MD2 yang pertama tiba pada November 2017 diikuti dengan tanaman pertama pada Januari 2018.

“Genap setahun pada bulan Januari 2019, buah-buah nanas ini dituai buat pertama kalinya,” katanya

di ladangnya di Kampung Padang Pan, Bau baru-baru ini.

 Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kanan) dan Menteri Muda Pertanian, Dr Abdul Rahman Ismail menunjukkan produk makanan hiliran  yang dihasilkan daripada buah nanas. ­— Gambar Muhd Rais Sanusi
BERPOTENSI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kanan) dan Menteri Muda Pertanian, Dr Abdul Rahman Ismail menunjukkan produk makanan hiliran yang dihasilkan daripada buah nanas. ­— Gambar Muhd Rais Sanusi

Tambah David, ladang nanasnya di Kampung Padang Pan ini pernah dilawati pelabur dari China yang berminat untuk membeli tanah ini.

Tetapi beliau enggan menjual tanah ini kerana yakin akan potensi tanaman nanas ini yang mampu menjana pendapatan yang lumayan untuk jangka masa panjang.

“Kekuatan ladang nanas ini ialah nanasnya daripada varieti premium MD2 yang manis serta konsisten dari segi kualiti dan kuantitinya.

“Malah katanya, ladang ini merupakan satu-satunya ladang MD2 yang disahkan LPNM dan dipantau rapi oleh Jabatan Pertanian,” kata pengusaha tanaman nanas tempatan ini.

Dari segi hasil pula, David berkata ladang ini berkeluasan 360 ekar manakala keluasan tanaman setakat ini ialah 60 ekar.

 Buah nanas yang dikeluarkan dari ladang di Kampung Padang Pan di Bau ini merupakan varieti premium berkualiti tinggi dan mendapat permintaan tinggi dunia.  — Gambar Muhd Rais Sanusi
BERMUTU TINGGI: Buah nanas yang dikeluarkan dari ladang di Kampung Padang Pan di Bau ini merupakan varieti premium berkualiti tinggi dan mendapat permintaan tinggi dunia. — Gambar Muhd Rais Sanusi

Bagi tuaian pertama bulan Januari 2019, ladang ini mampu mengeluarkan 25,000 biji buah nanas dengan anggaran pendapatan RM200,000 jika dijual pada harga RM5 sebiji dengan anggaran berat setiap buah 1.6 kilogram.

Manakala untuk tuaian pada bulan April dan seterusnya, pendapatan daripada jualan nanas yang dituai dari ladang ini dianggarkan meningkat ditambah dengan jualan sulur.

“Buat masa ini tuaian nanas dari ladang ini kami jual dalam pasaran tempatan sahaja dan ia tidak mencukupi.

“Jika pengeluaran nanas dari ladang ini berganda, kami merancang untuk mengeksport nanas ini ke pasaran luar dan bekerjasama dengan mana-mana syarikat yang sudah kukuh,” katanya.

Dari sudut lain, tanaman nanas yang diusahakan David ini bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi lebih penting membuka peluang pekerjaan kepada penduduk temptan.

“Apabila saya membuka ladang ini ia secara tidak langsung menyediakan pekerjaaan kepada penduduk tempatan.

“Kita mahu penduduk di sekitar ladang ini turut menikmati hasil daripada tanaman nanas ini sebagai tempat untuk mereka bekerja bagi menanggung keluarga masing-masing,” katanya.

David dalam pada itu berharap kejayaan tanaman nanas yang diusahakannya ini akan dapat menyuntik semangat dalam kalangan belia untuk menceburi bidang pertanian.

POTENSI NANAS

DI SARAWAK

Dalam pada itu, negeri Sarawak dilihat mempunyai potensi yang besar dalam penanaman nanas di Malaysia selepas Johor terutamanya dalam pembangunan tanaman nanas varieti premium MD2.

Varieti nanas MD2 merupakan varieti premium nanas dunia yang mendapat permintaan tinggi di kebanyakan negara disebabkan rasa dan keistimewaannya yang tersendiri.

 Pengunjung mencuba buah nanas premium yang ditanam dan dituai dari ladang nanas premium yang diusahakan David di Kampung Padang Pan di Bau. — Gambar Muhd Rais Sanusi
MANIS: Pengunjung mencuba buah nanas premium yang ditanam dan dituai dari ladang nanas premium yang diusahakan David di Kampung Padang Pan di Bau. — Gambar Muhd Rais Sanusi

Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar nanas dunia di mana varieti MD2 kini dalam program perluasan kawasan penanaman bagi menampung permintaan yang terus meningkat

Projek nanas premium pertama Sarawak di Kampung Padang Pan yang diusahakan oleh David ini mempunyai potensi bagi peningkatan keluasan tanaman kepada 129 hektar.

Keluasan tanaman nanas Sarawak pada tahun 2017 adalah seluas 1,342 hektar dengan jumlah pengeluaran 38,025 metrik tan dan nilai pengeluaran RM48.22 juta dan merupakan negeri kedua terbesar dari segi keluasan tanaman selepas Johor.

LPNM menyasarkan meningkatkan keluasan tanaman nanas kepada 3,500 hektar pada tahun 2020 dengan sokongan penuh kerajaan Sarawak.

Pengeluaran pertama buah nanas premium MD2 di Sarawak bukan sahaja menarik minat orang Sarawak untuk merasai keenakannya malah yang lebih penting membuka peluang dan ruang pasaran untuk mengeksport varieti ini ke luar negara.

Sehingga kini negara menghadapi kekurangan dalam mengeksport nanas MD2 terutamannya ke China dan Timur Tengah.

China memerlukan sebanyak 100 kontena sebulan namun ketika ini purata hanya tujuh kontena sebulan dihantar ke negara tersebut.  

Penanaman nanas MD2 di Sarawak ini akan dapat merancakkan aktiviti huluan dan hiliran industri ini.

LPNM juga menyasarkan pendapatan pekebun akan dapat ditingkatkan dari RM1,500 sebulan kepada RM3,500 sebulan dengan mengusahakan tanaman MD2.

  • oleh
  • Advertisement