Anda di sini

Lebih 18,000 ahli BERSATU Sarawak berjaya didaftarkan setakat Februari

Advertisement
ALKAF
ALKAF

KUCHING: Lebih daripada 18,000 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak berjaya didaftarkan di negeri ini setakat Februari.

Setiausaha Interim Negeri BERSATU Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, jumlah berkenaan adalah pendaftaran bagi kedua-dua pendekatan iaitu dalam talian dan secara manual.

“Kita berjaya mendaftarkan kira-kira 18,700 ahli bagi kedua-dua dalam talian dan manual sehingga Februari.

“Masih ada lagi yang dalam proses pendaftaran dan kami telah menubuhkan 31 cawangan di seluruh negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang dipengerusikan Pengerusi PH Negeri Chong Chieng Jen di Ibu Pejabat DAP di sini, semalam.

Alkaf merupakan pemimpin tertinggi bagi BERSATU di Sarawak yang akan dilantik terus oleh Pengerusi BERSATU pusat, Tun Mahathir Mohamad.

“Pengerusi negeri dilantik terus oleh Tun Mahathir, dan ia bukan secara undi,” katanya.

Pada Disember 2018, BERSATU telah melebarkan sayapnya ke Sarawak yang secara rasminya dilancarkan oleh Tun Mahathir di Bintulu.

Kemasukan parti itu ke Sarawak, memecahkan tradisi sekali gus melengkapkan kehadiran semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) selepas PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Advertisement