Anda di sini

Ronaldo gagal capai misi utama Juve

Advertisement
RONALDO
RONALDO

MILAN: Ketibaan Cristiano Ronaldo di Turin pada musim panas lalu dipuji sebagai satu langkah hebat oleh kelab gergasi Itali itu dalam usaha mereka untuk menamatkan penantian selama 23 tahun bagi menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara.

Bintang Portugis itu sudah memenangi lima kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Manchester United dan Real Madrid dan menjaringkan rekod 121 gol dalam pertandingan tersebut.

Namun sebaliknya gergasi Serie A itu kini berdepan dengan kemungkinan tersingkir awal selepas kalah 2-0 dalam perlawanan pusingan pertama peringkat 16 terakhir menentang Atletico Madrid pada Rabu lepas.

Sekali lagi Ronaldo, 34 tahun, tidak menikmati kepulangan ke Sepanyol yang dia impikan.

Bekas pemain Real Madrid itu dibuang dari padang dalam perlawanan pertamanya di Eropah untuk Juventus di Sepanyol pada September lalu ketika menentang Valencia.

Kali ini dia disiul dan dicemuh oleh penyokong tuan rumah, dan mempamerkan pretasi yang jauh di bawah jangkaan bagi seorang pemain yang dibeli oleh Juventus dengan harga 100 juta euro (RM480 juta).

Ronaldo menjawab dengan menunjukkan lima jari kepada penonton, dan memberitahu wartawan: “Saya ada lima trofi Liga Juara-Juara dan Atletico menang kosong.”

Namun harapannya untuk memenangi kejuaraan keenam dan pertama bersama Juventus pudar apabila dia dikekang dari awal lagi oleh barisan pertahanan Atletico.

“Ia adalah malam yang sukar,” kata Ronaldo, yang sudah menjaringkan 22 gol ketika menentang Atletico.

Sumbangan terbaik Ronaldo adalah tendangan percuma awal yang kencang dari jarak 30 elad, yang terpaksa ditolak ke atas oleh Jan Oblak.

Atletico bersukaria pada wisel pernamat selepas gol-gol daripada Jose Gimenez dan Diego Godin, dengan rembatan yang memasuki jaring selepas bola terkena Ronaldo, meletakkan pasukan Diego Simeone di ambang peringkat suku akhir.  

Akhbar sukan harian Itali Gazzetta Dello Sport menyelar Ronaldo yang menerima hanya 4.5 sahaja daripada 10 sebagai pemain “terburuk” di atas padang, manakala penjaga gol Juventus dari Poland, Wojciech Szczesny, pemain “terbaik” Juventus dengan 6.5.

“CR7, anda dapat menyelamatkan Juve ini,” gesa akhbar harian Turin Tuttosport yang melihat ke hadapan kepada perlawanan pusingan kedua di Allianz Stadium pada 12 Mei.

Jurulatih Massimiliano Allegri turut dikritik selepas apa yang disebut oleh Gazzetta dello Sport sebagai “Waterloo permainan dan sikap”.

Jurulatih Juventus itu mengakui pasukannya tersikap khususnya pada babak kedua apabila mereka diselamatkan dua kali oleh VAR.

“Mereka tidak memberi peluang kepada anda,” kata Allegri. “Mereka membuat anda bermain dengan teruk.”

Kelab Itali itu juga ada masalah dengan pemain tengah Sami Khedira yang belum pulih daripada masalah jantung manakala dua pemain pertahanan Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini baharu sahaja pulih daripada kecederaan.

Juventus tidak tewas dalam usaha mereka memburu kejuaraan Serie A kelapan berturut-turut. Mereka berada 13 mata di hadapan seteru terdekat Napoli selepas 24 perlawanan.

Namun dominasi domestik mereka sudah dipecahkan. Pada hujung Januari lepas, mereka tewas di Atalanta untuk menamatkan usaha mereka memenangi kejuaraan Coppa Italia yang kelima berturut-turut. — AFP

Advertisement