Anda di sini

Remaja maut tertusuk buluh

Advertisement

MACHANG: Hasrat tiga sepupu bersiar-siar di sekitar kampung pagi semalam berakhir dengan tragedi, apabila seorang daripada mereka maut tertusuk batang buluh di leher, di Kampung Bonggol Bukit Sawa, Bukit Bakar, di sini, semalam.

Mangsa Mohd Asri Ajeman, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk pada jam 9 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang ASP Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata semasa kemalangan pada jam 9 pagi itu, Allahyarham Mohd Asri membonceng motosikal yang ditunggang saudara sepupunya Mohd Fitri Rosdi, 18, manakala seorang lagi sepupu mereka yang menunggang motosikal berasingan berada di belakang.

Katanya, sebaik tiba di tempat kemalangan mereka bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki yang mengandar batang buluh di bahunya.

“Mohd Fitri cuba mengelak motosikal berkenaan tetapi bahagian hadapan buluh berkenaan tertusuk ke leher Mohd Asri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Shamsuri berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu Mohd Fitri berkata, dia nampak darah banyak mengalir di leher Mohd Asri.

“Saya sempat mengajar Allahyarham Mohd Asri mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia,” katanya.

Mohd Fitri yang masih trauma dengan kejadian berkata beliau tidak sangka  akan kehilangan sepupu yang paling rapat sekelip mata. — Bernama

Advertisement