Anda di sini

Rangsang sektor perkapalan

Advertisement
 Julaihi (duduk, tengah) bersama yang lain merakamkan kenangan selepas sidang media, semalam.
DILULUSKAN: Julaihi (duduk, tengah) bersama yang lain merakamkan kenangan selepas sidang media, semalam.

SIBU: Kelegaan tegak Jambatan Batang Rajang yang dicadangkan dalam projek pembinaan Jalan Pasi, Sarikei ke Tanjung Manis akan ditingkatkan daripada 20 meter kepada 26 meter.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan Sarawak meluluskan peningkatan itu selepas mendapat maklum balas daripada Persatuan Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah, Persatuan Perkapalan Sarawak dan Persatuan Perkapalan Sibu.

Beliau berkata, pada sesi dialog antara kerajaan negeri dan persatuan tahun lepas, pihak persatuan telah meminta supaya kelegaan tegak jambatan berkenaan ditingkatkan bagi memudahkan kemasukan kapal-kapal besar ke Sibu.

“Kita sangat mengambil berat terhadap pandangan yang disampaikan, apatah lagi mereka merupakan kunci utama kepada pertumbuhan industri perkapalan.

“Pada masa sama, kita mahu industri perkapalan menjadi salah satu sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Tingkat 15 Wisma Sanyan di sini, semalam.

Julaihi berkata, kelulusan tersebut turut dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor sungai dan bilangan kapal.

Ujar beliau, Kajian Trafik dan Analisis Risiko Laut (MTRA) telah mengenal pasti Kuala Rajang di mana jambatan itu akan dibina kelak sebagai laluan penting untuk kapal.

Tambahnya, Jambatan Batang Rajang yang dicadangkan sepanjang kira-kira 1.2 kilometer itu merupakan salah satu komponen kerja-kerja pembinaan jalan pesisir bagi cadangan projek Jalan Pasi ke Jalan Sibu/Tanjung Manis.

Projek tersebut telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 29 April 2018 pada program Sejiwa Senada di Meradong, Sarikei.

Ia telah ditender sebelum ditutup pada 26 Disember tahun lepas.

Julaihi berkata, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku kedua tahun ini dan akan mengambil masa kira-kira empat tahun.

Beliau berkata, Jalan Pasi yang menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis adalah sebahagian daripada ‘laluan terputus’ di sepanjang jalan pesisir di negeri ini.

“Jalan Pasi, Sarikei ke Tanjung Manis adalah kira-kira 17 kilometer dan ia melibatkan pembinaan sebuah jambatan yang dianggarkan 1.2 kilometer iaitu Jambatan Batang Rajang,” katanya.

Menurutnya lagi, apabila projek tersebut siap sepenuhnya kelak, ia bakal menjadi rangkaian jalan raya terpenting bagi jalan pesisir termasuk mengurangkan masa perjalanan antara Sarikei dan Tanjung Manis.

Beliau berharap ia juga akan mendorong pembukaan lebih banyak kawasan untuk merangsang aktiviti perdagangan, pertanian, pelancongan dan perkembangan lain di kawasan sekitarnya.

Ketika ini perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis terpaksa melalui Sibu iaitu jarak kira-kira 140 kilometer atau sekitar dua jam setengah.

Katanya, pembinaan Jalan Pasi ke Tanjung Manis akan mengurangkan jarak itu sehingga 50 kilometer, sekali gus mengurangkan masa perjalanan kepada 45 minit.

  • oleh
  • Advertisement