Anda di sini

Peranan RTM satu padukan rakyat, bukan pecah belahkan

Advertisement
Abdul Karim (dua kiri) bersama (dari kiri) Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang (kiri), Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern dan ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo melakukan simbolik perasmian majlis.
Abdul Karim (dua kiri) bersama (dari kiri) Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang (kiri), Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern dan ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo melakukan simbolik perasmian majlis.

KUCHING: Kenyataan yang mendakwa larangan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam membuat liputan di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang disifatkan pemikiran sempit.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia ternyata tersasar daripada matlamat sebenar penubuhan RTM.

Menurut beliau, RTM adalah agensi untuk menyatupadukan rakyat dan bukan memecahbelahkan rakyat.

"Walaupun program menjurus kepada menyatupadukan rakyat, namun tiada liputan hanya kerana ia program kerajaan negeri.

"Bagi saya perkara seperti ini adalah pemikiran sempit.

"Walaupun Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bukan parti mendokong kerajaan pusat, tetapi kita tetap menyanyikan lagu Negaraku yang sama," katanya ketika berucap pada majlis Tahun Baharu Cina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan Sabtu malam.

Abdul Karim berkata, beliau tidak mengetahui sama ada benar arahan berkenaan adalah dari Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh.

Malah katanya, beliau sendiri pernah menyatakan kepada Gobind bahawa jika ia program berlandaskan politik maka mungkin tidak perlu ada liputan.

"Jika ia program jerayawara GPS atau politik itu tidak mengapa tiada liputan.

"Namun jika ia program berlandaskan keharmonian seperti sambutan perayaan seperti ini sepatutnya ada kerana ia adalah antara agenda RTM ditubuhkan," tegasnya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu, beliau bukan berkecil hati tetapi ia sudah menjadi peranannya untuk menegur perkara yang tidak betul.

"Tidak semestinya menteri atau perdana menteri anda tidak boleh ditegur kerana kalau tidak ditegur, perkara sebegini akan melarat," katanya.

Sebelum ini bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui catatan Facebooknya mendakwa terdapat panduan berhubung kandungan liputan dan siaran bagi negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang, sekali gus mendakwa tiada kebebasan media di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Bekas perdana menteri itu turut mengepilkan arahan-arahan terperinci itu.

Mengulas mengenai perkara itu Gobind berkata, beliau dimaklumkan arahan itu dibuat hasil perbincangan dalaman RTM sahaja di peringkat negeri-negeri berkaitan.

  • oleh
  • Advertisement