Anda di sini

Peniaga ditahan, guna kedai alat tulis sebagai makmal dadah

Advertisement

NIBONG TEBAL: Seorang peniaga alat tulis di Simpang Ampat dekat sini ditahan Rabu lepas kerana disyaki menjadi ketua sindiket memproses dan mengedar dadah dengan menjadikan kedainya di Taman Merak Jaya di sini sebagai makmal memproses dadah.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T. Narenasagaran semalam berkata peniaga berumur 30 tahun itu ditangkap di rumahnya di Bandar Tasik Mutiara hasil penahanan adik tirinya berumur 29 tahun bersama-sama 5.4kg heroin dalam serbuan pertama pada kira-kira jam 9.30 malam.

“Dalam serbuan pertama itu, adik tirinya yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan ketika berada dalam lorinya. Polis menjumpai heroin dalam lori itu semasa  diperiksa,” katanya pada sidang media di sini.

Susulan penangkapan itu, polis menyerbu kedai milik peniaga itu di Taman Merak Jaya dan mendapati tingkat atas kedai itu telah dijadikan seperti makmal dipercayai untuk memproses dadah jenis heroin manakala tingkat bawahnya kelihatan seperti kedai alat tulis biasa.

Polis juga merampas kira-kira 7.7kg sebuk kafein, pelbagai cecair kimia dan peralatan lain yang disyaki digunakan untuk memproses dan membungkus dadah di premis itu.

Ketika diserbu, peniaga itu juga didapati memiliki bersama-samanya 225g heroin lagi.

Narenasagaran berkata keseluruhan dadah yang ditemui bernilai kira-kira RM66,500 dan polis turut menyita dua buah kereta termasuk sebuah kereta mewah, barang kemas bernilai kira-kira RM20,700 dan wang tunai RM5,000.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kepakaran untuk memproses sendiri heroin berkenaan yang dipercayai diedar untuk pasaran gelap di sekitar negeri ini.

“Jumlah heroin yang dirampas boleh diguna oleh sehingga 14,500 penagih dadah,” katanya.

Beliau berkata peniaga berkenaan juga didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga 27 Feb untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. — Bernama

Advertisement