Anda di sini

Pengurus jualan kereta didakwa 14 tuduhan palsukan tandatangan dalam dokumen

Advertisement
 Pengurus jualan sebuah syarikat menjual kereta Lim Thean Hee (tengah) mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret berlainan di Kuala Lumpur, semalam, atas 14 tuduhan menggunakan tandatangan palsu pada dokumen perjanjian pembelian kereta, empat tahun lepas. — Gambar Bernama
DIBICARA: Pengurus jualan sebuah syarikat menjual kereta Lim Thean Hee (tengah) mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret berlainan di Kuala Lumpur, semalam, atas 14 tuduhan menggunakan tandatangan palsu pada dokumen perjanjian pembelian kereta, empat tahun lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus jualan sebuah syarikat menjual kereta mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret berlainan di sini, semalam, atas 14 tuduhan menggunakan tandatangan palsu pada dokumen perjanjian pembelian kereta, empat tahun lepas.

Lim Thean Hee membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki, Noorasyikin Sahat dan Maizatul Munirah Abd Rahman, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Lim, 57, didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen perjanjian pembelian yang mengandungi tandatangan palsu sebagai tulen kepada Syarikat Kah Bintang Auto Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Syarikat Kah Bintang Auto Sdn Bhd, Wisma Kah Motor, Batu 3 1/2 Jalan Ipoh, Wangsa Maju, antara 3 Julai 2015 dan 28 Jan 2016, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Lim diikat jamin RM22,500 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 28 Mac serta 2 April untuk sebutan semula kes itu.

Lim diwakili peguam Sugandra Rao Naidu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif, Nur Farah Adilah Noordin dan Noorelynna Hanim Abd Halim mengendalikan kes. — Bernama

Advertisement