Anda di sini

Penceroboh terima padah terjatuh

Advertisement
 Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
GAGAL: Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

KUCHING: Seorang lelaki ditangkap selepas dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Jalan Hup Kee di sini, sekitar jam 9.20 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong berkata, suspek berusia 28 tahun itu dicekup selepas terjatuh dari bumbung rumah dalam cubaannya melarikan diri selepas berjaya dikesan oleh orang ramai.

Menurutnya, terdahulu pemilik rumah yang diceroboh suspek mendapat amaran daripada sistem penggera yang dipasang di rumahnya melalui telefon bimbitnya dan terus memaklumkan kepada jiran-jirannya untuk bantuan.

“Penduduk di kawasan perumahan itu kemudian berkumpul dan menemui suspek bersembunyi di bumbung rumah tersebut sebelum berjaya menangkap dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pemeriksaan ke atas beg sandang suspek berusia 28 tahun itu juga berjaya menemui beberapa barang disyaki barang curi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, tular beberapa video di media sosial sejak semalam menunjukkan aksi-aksi suspek cuba melawan orang awam di atas bumbung sebelum terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Susulan itu, suspek yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) untuk mendapatkan rawatan.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh pemilik rumah dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Advertisement