Anda di sini

Peluang terbaik PH tawan Sarawak: Baru

Advertisement
 Baru (kiri) menyaksikan majlis angkat sumpah jawatankuasa cabang Selangau dan Hulu Rajang, semalam.
ANGKAT SUMPAH: Baru (kiri) menyaksikan majlis angkat sumpah jawatankuasa cabang Selangau dan Hulu Rajang, semalam.

SIBU: Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang terbaik untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tamat pada Mei 2021.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata, usaha memperkukuhkan perpaduan parti adalah penting untuk me- mastikan kemenangan itu.

“Ini peluang terbaik kita untuk memenangi PRN akan datang dengan terus memperkukuhkan perpaduan parti di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Baru berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Cabang PKR Zon Tengah Bagi Sesi 2018-2021 di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Menteri Kerjaya Raya itu turut percaya PRN Ke-12 nanti akan diadakan pada pertengahan 2020.

“Fokus kita bersiap sedia dalam menghadapi PRN, kita boleh mengambil alih kerajaan dan menawan Sarawak pada PRN akan akan datang,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Baru berkata, kepimpinan PKR negeri akan mencari jalan untuk membantu semua cawangan dalam persiapan menjelang PRN.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata, PKR semakin diterima rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Keahlian PKR meningkat selepas PRU14 berbanding jumlah ahli sebelum ini.

“Saya yakin ini kerana parti PKR adalah sebuah parti berbilang kaum dan diterima baik di negara ini terutamanya di Sarawak,” jelasnya.

Sementara itu, Joshua Jabeng dipilih sebagai Ketua Cabang Selangau, Ali Biju Ketua (Saratok), Abun Sui (Hulu Rajang), George Chen (Kanowit), Abdul Jalil Bujang (Mukah) dan Hung Soon Kieng (Lanang).

Hadir sama ialah Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) See Chee How, Naib Ketua Pengerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Ali Biju dan pengerusi penganjur Simon Joseph.

  • oleh
  • Advertisement