Anda di sini

Pekan Spaoh bakal berubah wajah: Uggah

Advertisement
Uggah bersama isterinya, Doreen, Robert dan Penghulu Goh Leng Tong menggaul Yee Sang pada majlis Jamuan Tahun Baharu Cina di Spaoh pada Jumaat 
Uggah bersama isterinya, Doreen, Robert dan Penghulu Goh Leng Tong menggaul Yee Sang pada majlis Jamuan Tahun Baharu Cina di Spaoh pada Jumaat 


KUCHING: Pekan Spaoh bakal berubah wajah melalui projek pembangunan bernilai lebih RM30 juta.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia termasuk pembinaan jambatan baharu menyeberangi Sungai Spaoh, bangunan pejabat daerah kecil, program mencantikkan Tebingan Sungai Spaoh, kompleks sukan dan menara komunikasi di Luban.


Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg akan melancarkannya pada 11 Mac apabila beliau memulakan lawatan kerjanya selama dua hari ke Bahagian Betong.


"Perbincangan juga akan diadakan untuk membina rumah kedai baharu bagi menggantikan sembilan premis musnah dalam kebakaran pada malam ambang Tahun Baharu Cina lalu.


"Samping itu, sebuah pusat inkubasi untuk melatih usahawan-usahawan juga akan dibina di sini," katanya pada majlis Jamuan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Spaoh Tiong Hua di sini, pada Jumaat.


Beliau berkata, projek-projek ini jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengabaikan kawasan luar bandar dalam usahanya untuk membawa  kemajuan dan kemakmuran di seluruh negeri.


"Kita yakin bahawa pusat inkubasi akan menjadi titik permulaan untuk melatih dan menghasilkan lebih banyak usahawan.


"Kita mahu penduduk luar bandar mempunyai sumber pendapatan yang lebih baik dan stabil melalui penggunaan tanah mereka," katanya.


Sehubungan itu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menyeru rakyat di sini dan di bandar Betong untuk hadir bersama-sama mengalu-alukan kedatangan Abang Johari.


Sejak menjadi Ketua Menteri, katanya, Abang Johari telah menghasilkan 65 inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.


"Justeru, lebih banyak faedah akan dinikmati jika rakyat terus menyokong kerajaan GPS di bawah pimpinan beliau dalam pilihan raya negeri akan datang," ujarnya.


Pada majlis itu, Uggah turut mengumumkan geran kerajaan berjumlah kira-kira RM215,000 kepada pelbagai persatuan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Spaoh.


Jumlah itu termasuk RM40,000 untuk mangsa kebakaran kedai di Spaoh.


Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat yang turut hadir pada majlis itu juga memberikan jumlah yang sama kepada mereka.


Sementara itu, beliau menyeru masyarakat Cina di Betong, Pekan Spaoh dan Debak untuk terus membantu antara satu sama lain dalam memajukan perniagaan mereka.


Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Uggah, Datin Amar Doreen Mayang dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr. Richard Rapu.

  • oleh
  • Advertisement