PETALING JAYA: Malaysia bukan sebuah negara bankrap dan mempunyai keupayaan untuk membayar balik Bon Panda sekiranya kerajaan bersetuju untuk menerbitkannya, kata Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee.
Beliau berkata pinjaman seumpama itu, termasuk Bon Samurai, akan menyediakan pelbagai kesan kepada ekonomi Malaysia yang seterusnya membolehkan negara berkembang dan membayar balik pinjaman.
“Selagi ekonomi kita rancak kembali (berkembang), sudah pastinya ada keupayaan. Seharusnya tidak ada sebarang masalah.
“Kita tidak tahu termanya lagi... (tetapi) asalkan wang (daripada pinjaman) disalurkan dengan betul, saya tak nampak mengapa kita tidak boleh membayar pinjaman,” katanya pada taklimat media mengenai prospek pasaran 2019, di sini, semalam.
Yee berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai sama ada Malaysia harus menerima cadangan Bon Panda yang dibuat oleh sebuah bank China memandangkan paras hutang negara yang tinggi ketika ini.
Beliau menjangka penggunaan terbitan Bon Panda akan lebih cenderung ke arah sektor pembinaan.
Baru-baru ini, Duta China ke Malaysia Bai Tian berkata China Construction Bank mencadangkan terbitan Bon Panda di China bagi Malaysia untuk membantu mengurangkan tekanan kewangan negara.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan itu diusulkan kepada beliau dan perdana menteri serta kabinet telah dimaklumkan, tetapi ia masih dalam perbincangan.
Sementara itu, Bon Samurai 10 tahun 200 bilion yen pertama Malaysia, yang dijamin oleh kerajaan Jepun akan diterbitkan bulan depan. — Bernama