Anda di sini

Lima suspek pecah rumah di Bintulu berjaya dicekup

Advertisement
 Pembesar suara antara barangan yang dirampas polis.
DISYAKI HASIL CURI: Pembesar suara antara barangan yang dirampas polis.

BINTULU: Kegiatan pecah rumah berjaya ditumpaskan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dengan penangkapan lima lelaki tempatan berumur 20 hingga 30 tahun dalam Ops Pintu di beberapa tempatan berasingan di bahagian ini.

Susulan itu beberapa siri rampasan telah dilakukan membabitkan pelbagai barangan dipercayai hasil aktiviti pecah rumah daripada lima suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, rampasan barangan terbabit dilakukan pada jam 12 tengah hari, 19 Februari lalu diketuai Inspektor Nixon Malang selepas penangkapan lima lelaki tempatan pada hari sebelumnya.

Katanya, rampasan dibuat di kawasan pasar lama Bintulu, Kampung Jabai dan Sebauh yang menemui beberapa unit telefon bimbit, pelbagai alatan muzik, televisyen dan pembesar suara.  

“Kesemua suspek kini dalam tahanan pihak polis sehingga 4 Mac ini untuk membantu siasatan termasuk siasatan membabitkan kejadian pecah masuk sebuah gereja di kawasan Tanjung Kidurong,” ujarnya di sini semalam.

Zulkipli berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek-suspek turut terlibat dalam kes-kes pecah rumah lain yang dilaporkan di bahagian ini dan semakan rekod jenayah ke atas semua suspek mendapati seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi.

Justeru katanya, sabit kesalahan pecah rumah memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda dan jika berniat untuk mencuri penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.

Advertisement