Anda di sini

Kovac ingin kekebalan di benteng pertahanan Bayern dikekalkan

Advertisement
KOVAC
KOVAC

BERLIN: Niko Kovac mahu pasukannya Bayern Munich menunjukkan disiplin pertahanan sama yang menyaksikan mereka mengekang Liverpool dalam perebutan kejuaraan Bundesliga apabila mereka memberi tumpuan kepada pendahulu yang tersentak, Borussia Dortmund.

Bayern dibolosi gol-gol selekeh – termasuk jaringan sendiri paling pantas dalam rekod Bundesliga selepas hanya 13 saat sahaja – dalam kemenangan 3-2 pada Jumaat lalu di Augsburg, yang meletakkan juara bertahan itu tiga mata di belakang Dortmund selepas mereka seri 0-0 di Nuremberg pada malam Isnin lepas.

Pasukan Kovac menyusulinya dengan keputusan seri tanpa jaringan yang jauh lebih berdisiplin di Anfield untuk meletakkan mereka pada kedudukan yang baik untuk perlawanan menentang Liverpool menjelang pusingan penentuan perlawanan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada 12 Mac.

“Saya menjangkakan kosentrasi yang sama dan disiplin mutlak di bahagian pertahanan,” katanya kelmarin menjelang perlawanan liga mereka di tempat sendiri menentang Hertha Berlin pada malam ini.

Hertha menewaskan Bayern di tempat kedua di ibu negara 2-0 pada September lalu, kekalahan pertama daripada empat kekalahan mereka pada musim ini.

“Bundesliga adalah penting, tetapi segelintir pemain menganggap Liga Juara-Juara lebih tinggi dan memberikan lebih usaha kepadanya,” ujarnya.

Kemenangan di Munich akan memberikan mata yang sama kepada Bayern dengan Dortmund sekurang-kurangnya selama 24 jam sebelum Dortmund bermain esok (Ahad) di tempat sendiri menentang Bayer Leverkusen – yang melonjak ke tempat kelima di bawah jurulatih baharu Peter Bosz – manakala tujuh gol yang memihak kepada Bayern dalam kedua-dua perlawanan boleh meletakkan kelab Bavaria itu di tempat teratas berdasarkan kelebihan gol.

Kovac yang berbangsa Croat mahu menjadikannya “susah untuk menjaringkan gol bila menentang Bayern Munich – segalanya dalam minda” selepas terlalui banyak persembahan pertahanan yang longgar.

Pemain pertahanan tengah Mats Hummels mungkin tidak akan bermain untuk menentang Hertha kerana selesema dan bakal digantikan oleh Jerome Boateng.

Dortmund amat memerlukan kemenangan selepas kelebihan sembilan mata dikurangkan ekoran keputusan seri dalam tiga perlawanan liga terakhir mereka, manakala Bayern sudah bangkit semula daripada November yang goyah dengan memenangi sembilan daripada 10 perlawanan terakhir mereka. — AFP

Advertisement