Anda di sini

Kes rompak di parkir pasar raya, polis giat buru suspek kedua

Advertisement
 Kereta yang digunakan suspek semasa kejadian disita untuk siasatan lanjut.
RAMPAS: Kereta yang digunakan suspek semasa kejadian disita untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Seorang suspek kes rompak di tempat letak kereta pasar raya Emart, Batu Kawa berjaya ditangkap dan usaha menjejaki seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditangkap di Jalan Temple di sini, sekitar jam 9.30 malam kelmarin.

Turut dirampas ialah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai digunakan kedua-dua suspek semasa kejadian rompakan tersebut.

“Siasatan juga mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes (rompakan) tersebut bersama seorang lelaki warga tempatan yang masih bebas.

“Semakan lanjut mendapati suspek turut mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau kes jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Kita menyeru orang ramai yang mengenali atau mengetahui kedudukan suspek yang masih bebas agar tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” kata Merbin.

Difahamkan, kejadian rompakan tersebut berlaku sekitar jam 9.15 malam Rabu lepas ketika mangsa iaitu seorang wanita sedang menunggu suaminya di tempat letak kereta tersebut.

“Mangsa didatangi dua lelaki menaiki sebuah MPV yang berpura-pura bertanyakan alamat sebelum seorang lagi bertindak merampas telefon bimbitnya.

“Suspek turut menumbuk mangsa sebelum mereka melarikan diri dari tempat kejadian,” jelas Merbin.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut yang berdurasi satu minit lima saat tular di media sosial dan mendapat banyak perkongsian dalam kalangan netizen.

Advertisement