Anda di sini

Kerani pentadbiran mangsa Parcel Scam di Miri

Advertisement
Gambar hiasan

MIRI: Seorang kerani pentadbiran sebuah syarikat di sini mengalami kerugian RM19,500 selepas diperdaya sindiket Parcel Scam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata mangsa wanita berusia 28 tahun mula berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Alex di Instagram pada awal Januari tahun ini. 

"Lelaki itu beritahu dia ada menghantar bungkusan yang mengandungi barang berharga seperti beg dan barang kemas kepada mangsa. Suspek turut mengatakan terdapat wang di dalam bungkusan tersebut.

"Pada 10 Januari lalu, mangsa terima WhatsApp dari seorang wanita dikenali sebagai Lenna yang mengatakan dari pihak Kastam Kuala Lumpur dan wanita itu meminta mangsa membayar sejumlah wang untuk bayaran perkhidmatan kurier, insurans dan bayaran penghantaran parcel kiriman Alex kepada mangsa itu," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu. 

Mustafa Kamal berkata mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM19,500 ke dua akaun bank berlainan mulai 24 Januari sehingga 18 Februari melalui tiga kali transaksi.

"Setelah bayaran dibuat, mangsa sekali lagi diminta untuk membuat bayaran kepada pihak anti penggubahan wang haram berjumlah RM53,100. 

"Namun mangsa tidak membuat apa-apa bayaran selepas itu kerana mengesyaki ada perkara yang tidak kena dan merasakan telah ditipu. Malah barangan yang dihantar oleh rakan Instagramnya itu juga tidak diterima," ujarnya.

Siasatan masih diteruskan.

  • oleh
  • Advertisement