Anda di sini

Kerajaan sentiasa ambil berat pendidikan anak Sarawak: Simoi

Advertisement
 Simoi (dua kanan) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada murid SJK Chung Hua, Lingga semalam.
PRIHATIN: Simoi (dua kanan) menyampaikan bantuan beg sekolah kepada murid SJK Chung Hua, Lingga semalam.

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil berat aspek pendidikan anak-anak negeri ini dengan berusaha memastikan infrastruktur seperti bangunan sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, meskipun tanggungjawab itu terletak di bawah kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan, atas keprihatinan pemimpin dan kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM81.7 juta bagi membina dan membaik pulih sekolah daif di seluruh Sarawak pada tahun ini.

“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengambil pendekatan ‘Utamakan Sarawak’ dalam setiap pendekatan yang diambil untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau Sempena Tahun Baharu Cina dan Perasmian Jejantas Projek RTP Kerajaan Sarawak di Kawasan DUN Lingga di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, Lingga di sini semalam.

Projek jejantas berkenaan yang menelan kos RM100,000 siap sepenuhnya pada tahun lepas.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Abang Adam Abang Deli, Pegawai Daerah Sri Aman Mohd Asree Wee, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Lingga Mohd Firdaus Abdillah, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masyarakat.

Pada majlis itu, Simoi turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 98 pelajar dan sumbangan geran kerajaan kepada PIBG sekolah tersebut.

Advertisement