Anda di sini

KDFA mahu jalin kerjasama erat dengan Yakult

Advertisement
 Fazzrudin (tiga kanan) bersalaman dengan Hiroshi sambil disaksikan Penolong Pengurus Kuching FA, Iswandi Ali Hassan (dua kiri), Pegawai Perhubungan Awam Yakult (Malaysia), Liew Qing (kanan) dan Yuta (dua kanan) di Kuching semalam.
ERAT KERJASAMA: Fazzrudin (tiga kanan) bersalaman dengan Hiroshi sambil disaksikan Penolong Pengurus Kuching FA, Iswandi Ali Hassan (dua kiri), Pegawai Perhubungan Awam Yakult (Malaysia), Liew Qing (kanan) dan Yuta (dua kanan) di Kuching semalam.

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) mahu menjalinkan kerjasama lebih erat dengan syarikat minuman kesihatan, Yakult dalam pembangunan bola sepak peringkat akar umbi.

Presidennya, Fazzrudin Abdul Rahman berkata persatuan itu akan melihat potensi-potensi yang boleh dilaksanakan bersama syarikat berpangkalan di Jepun itu.

Beliau juga merakamkan penghargaan ke atas Yakult (Malaysia) kerana kesudian menaja pasukan Kuching FA pada tahun ini.

Untuk makluman, syarikat Yakult menaja pemain import dari Jepun, Yuta Suzuki untuk pasukan Kuching FA dan gaji beliau dibayar oleh syarikat tersebut.

“Pada masa sama, kita juga berbincang mengenai program pembangunan akar umbi di mana Yakult boleh memainkan peranan bersama-sama dalam pembangunan bola sepak peringkat akar umbi.

“Kita juga difahamkan Yakult merupakan minuman probiotik yang digunakan oleh pasukan bola sepak terkemuka bukan sahaja di Asia malah di Eropah,” katanya ketika menerima kunjungan delegasi Yakult (Malaysia) di Pusat Khidmat DUN Tupong di sini semalam.

Pengurus Kuching FA itu turut menzahirkan rasa gembira kerana pasukannya akan ditaja syarikat itu sepanjang musim untuk latihan dan perlawanan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Hiroshi Hamada mahu menjalinkan kolaborasi jangka masa panjang bersama Kuching FA khususnya dalam pembangunan bola sepak di negeri ini.

“Kita menyasarkan untuk mengadakan hubungan jangka masa panjang malah dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kita menandatangani kontrak selama tiga tahun.

“Setakat ini, Yakult cuma membantu dari segi sukan kerana minuman ini sangat baik untuk bersukan terutamanya selepas latihan,” katanya.

Menurut beliau, Kuching FA dipilih kerana syarikat itu mahu mempromosikan minuman kesihatan itu dengan lebih meluas kepada warga Sarawak.

Advertisement