Anda di sini

Kastam Sarawak rampas dadah bernilai RM151,700

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penangkapan seorang lelaki yang didapati memiliki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 3,034 gram dan bernilai RM151,700 pada Jumaat.

Pengarah Kastam Negeri Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata tangkapan tersebut dilakukan di hadapan sebuah pejabat kurier di sini iaitu sekitar pukul 2 petang.

“Sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier bagi mendapatkan bekalan dadah kerana pergerakkan bungkusan kurier mudah untuk dikesan melalui tracking (penjejakan pesanan).

“Namun JKDM sentiasa berwaspada dengan taktik yang digunakan dan kerap kali membuat penilaian risiko ke atas bungkusan kurier,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, suspek berusia 45 tahun itu kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan kes dadah yang pertama dan terbesar dalam tahun ini bagi JKDM Sarawak.

“Bagi tahun 2018, Cawangan Narkotik JKDM Sarawak merekodkan rampasan dadah pelbagai jenis dengan nilai mencecah RM1.7 juta.

“Justeru kita mohon orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barang larangan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol JKDM 1-800-88-8855,” kata Sharifah Halimah.

Orang ramai juga boleh menghubungi JKDM Sarawak di talian 082-472133 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran.

  • oleh
  • Advertisement