Anda di sini

Jugah komited untuk bangunkan beberapa sekolah daif di kawasannya

Advertisement
 Jugah (dua kanan) serta pegawai KPM dari Putrajaya ketika meninjau salah satu sekolah di kawasannya, baru-baru ini.
TURUN PADANG: Jugah (dua kanan) serta pegawai KPM dari Putrajaya ketika meninjau salah satu sekolah di kawasannya, baru-baru ini.

SIBU: Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang komited untuk membangunkan beberapa sekolah daif di kawasannya.

Beliau berkata, dalam lawatan pertama ke sekolah berkenaan baru-baru ini, beliau melahirkan rasa terkilan terhadap keadaan sekolah berkenaan.

“Saya telah melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Menyebat, SK Nanga Kesit, SK Nanga Menjuau dan SK Nanga Tibu. Keadaan fasiliti dan kemudahan amatlah menyedihkan, daif serta usang dan sukar untuk digambarkan.

“Kita komited untuk memastikan sekolah-sekolah daif di kawasan Lubok Antu diselesaikan dengan secepat mungkin,” kata Jugah menerusi kenyataan medianya di sini, semalam.

Beliau turut bersedih melihat keadaan sekolah daif wujud di pinggir bandar walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum masuk ke kawasan pedalaman lagi.

“Keadaan sekolah tersebut masih sama seperti 40 tahun dahulu tanpa ada perubahan,” jelasnya lagi.

Pada Rabu lalu, Jugah memberitahu beliau bersama beberapa pegawai KPM dari Putrajaya telah membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili.

Menurutnya, ini berikutan tindakan susulan atas perkara yang dibangkitkannya mengenai kedaifan dan keusangan fasiliti dan kemudahan di sekolah tersebut.

“Walaupun keadaan dan fasiliti sekolah terbabit jauh ketinggalan tetapi gurunya tetap bersemangat untuk mengajar.

“Pelajar mereka dari kawasan luar bandar menunjukkan semangat belajar, malah ada antara mereka yang boleh membaca sajak dalam bahasa Inggeris,” jelasnya.

Jugah berkata lagi, ada juga pelajar meminati Sains walaupun makmal mereka uzur tetapi mereka mempunyai bakat kepimpinan tinggi.

Beliau bagaimanapun yakin jika kerajaan menyediakan prasarana yang lebih baik, mereka dapat menyelesaikan kualiti pendidikan.

Selain itu katanya, guru-guru juga perlu diberikan latihan berkualiti sehingga mereka dapat mendidik dan melatih murid supaya menjadi golongan cemerlang dan dapat peluang lebih baik pada masa akan datang.

Sementara itu, Jugah yakin masalah kemiskinan di luar bandar di Sarawak boleh diselesaikan melalui pendidikan.

“Jika anak-anak diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran lebih tinggi, pelajar daripada keluarga yang miskin dan bersekolah di luar bandar boleh berjaya dan mengubah keadaan ekonomi keluarga masing-masing.

“Saya dapati anak-anak di sekolah luar bandar dan daripada keluarga miskin berbakat, jika diberikan peluang ke sekolah berasrama penuh, sediakan segala fasiliti, infrastruktur yang baik, dan guru-guru kualiti, anak-anak ini akan jadi cemerlang,” katanya lagi sambil memberitahu bukan setakat akademik tetapi pencapaian lain.

Malangnya, kata Jugah, kalau dilihat peluang mereka dapat hari ini tidak seperti peluang yang ada di bandar-bandar atau di sekolah cemerlang atau sekolah asrama penuh.

“Saya juga ingin menyarankan universiti di negara ini melonggarkan kelayakan bagi kemasukan pelajar luar bandar dan keluarga miskin.

“Pelajar ini tidak boleh dibandingkan dengan anak orang kaya dan bersekolah di asrama penuh.

“Bagi mereka datang daripada keluarga kaya sudah tentu mereka pergi belajar di tuisyen, mendapatkan buku yang baik, dapatkan guru terbaik dan kalau di asrama penuh, mereka dapat guru baik untuk mengajar mereka.

“Tetapi, tidak kepada anak-anak keluarga miskin, luar bandar, pada saya jika keputusan mereka tidak banyak ‘A’ seperti pelajar bandar tetapi diberikan peluang mendapatkan pendidikan berkualiti, mereka boleh menjadi pelajar cemerlang pada masa hadapan,” katanya lagi.

Advertisement