Anda di sini

Institut Penyelidikan Perikanan Langkawi teroka potensi perladangan 'lattut'

Advertisement
Pegawai Penyelidik FRI Langkawi, Nik Nazli Effendy Ramli menunjukkan 'lattut lipan' (kiri) dan 'lattut buah' yang diternak dan masih dalam kajian di FRI Langkawi, Bukit Malut di sini. - Gambar Bernama
Nik Nazli menunjukkan 'lattut lipan' (kiri) dan 'lattut buah' yang diternak dan masih dalam kajian di FRI Langkawi, Bukit Malut di sini. - Gambar Bernama

LANGKAWI: Selain menjadi syurga beli-belah, pulau peranginan ini menawarkan pelbagai keunikan yang sudah gah dalam kalangan pengunjung, antaranya gamat. Justeru, jika disebut ‘lattut’ mungkin ramai yang menggaru-garu kepala, tertanya-tanya.

Namun itu tidak menghairankan kerana lattut merupakan sejenis rumpai laut bermusim yang lazimnya  dimakan penduduk setempat sebagai salad atau ulam, dicecah bersama air asam.

Bagi yang pernah merasainya pasti kecur air liur untuk menikmati keenakan alga laut bertekstur lembut dan ranggup ini yang hidup liar di kawasan berlumpur dan berpasir di sekitar Sungai Kilim dan Pulau Tuba di sini.

 Menyedari potensi lattut untuk perladangan komersil, Institut Penyelidikan Perikanan Langkawi (FRI Langkawi) mengambil inisiatif  dan menjalankan kajian terhadap tumbuhan marin itu sejak penghujung tahun lepas.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Pegawai Penyelidik FRI Langkawi Nik Nazli Effendy Ramli menjelaskan terdapat tiga jenis lattut atau nama saintifiknya caulerpa sp yang ditemui di Langkawi iaitu lattut lipan, lattut buah kecil dan lattut buah besar.

"FRI Langkawi membuat kajian ini supaya kita dapat selesaikan masalah seperti bekalan tidak ada kerana faktor musim.  Pasukan penyelidik FRI Langkawi ambil lattut yang hidup di kawasan Sungai Kilim dan bawa ke pusat ini kemudian ditempatkan di dalam tangki,

“Menerusi kajian ini kita rekodkan proses pertumbuhan hidupan ini dan pada masa yang sama kita buat kajian mengenai kemasinan, kualiti air, faktor cahaya serta suhu supaya prosesnya sama seperti semasa hidup liar supaya apabila diternak nanti bekalan dapat diperolehi sepanjang masa," katanya. 

Ditanya perbezaan di antara lattut dan rumpai laut biasa, Nik Nazli Effendy berkata alga laut ini boleh terus dimakan selepas dicuci bersih berbanding rumpai laut biasa yang perlu diproses terlebih dahulu sebelum boleh dimakan.

"Selain memiliki rasa yang enak, lattut kaya dengan khasiat seperti antioksidan, memperkuat tulang dan sendi, menjaga kesihatan jantung dan mata, mengatasi sembelit serta beberapa lagi manfaat kepada pengguna,” katanya.

Nik Nazli Effendy berkata lattut juga mudah disediakan iaitu dimakan bersama nasi, dicecah air asam atau bersama roti.

“Harga jualan lattut juga baik sekitar RM12 hingga RM15 sekilogram dan mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara sistematik,” katanya. - Bernama

Advertisement