Anda di sini

Guna media sosial tarik sokongan terhadap program CSR

Advertisement
 Abdul Aziz (empat kiri) ditemani (dari kiri) Edwin, Rakayah, Abdul Hadi dan Zaidi menyampaikan peket angpau kepada salah seorang kanak-kanak di PIBAKAT, Jalan Ong Tiang Swee, Kuching semalam.
KONGSI KEGEMBIRAAN: Abdul Aziz (empat kiri) ditemani (dari kiri) Edwin, Rakayah, Abdul Hadi dan Zaidi menyampaikan peket angpau kepada salah seorang kanak-kanak di PIBAKAT, Jalan Ong Tiang Swee, Kuching semalam.

KUCHING: Penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan WeChat dapat mempromosikan atau menarik sokongan terhadap program atau aktiviti berkaitan membantu golongan kurang bernasib baik.

Demikian menurut Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain yang berkata, ramai rakyat yang berkemampuan dan mempunyai hati yang baik serta sentiasa mahu menyumbang untuk membantu meringankan beban golongan memerlukan di negeri ini.

“Pihak penganjur boleh mempromosikan kempen ‘Love In A Box’ tahun depan di dalam pelbagai media sosial.

“Menerusi penggunaan Internet, mungkin lebih ramai orang yang mahu memberikan sokongan kepada program ini dan ia memberi peluang kepada orang ramai yang ingin menyumbang untuk menjayakan inisiatif ini bersama,” ujarnya ketika berucap pada kempen ‘Love In A Box’ bersama Pertubuhan Ibu Bapa dan Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT) di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, tidak salah untuk mencuba perkara baharu untuk tujuan kebajikan dan selari dengan usaha kerajaan negeri ke arah transformasi digital.

Kempen ‘Love In A Box’ telah dilaksanakan sejak 2014 dan Abdul Aziz berkata, SEDC amat komited dalam menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, mungkin pertolongan dan sumbangan yang ditawarkan pihaknya kecil disebabkan kekangan kewangan ekoran ekonomi semasa, namun ia berupaya memberi kegembiraan tidak terhingga kepada golongan memerlukan.

Antara inisiatif yang dijalankan pihaknya termasuk Majlis Belaian Kasih, Majlis Berbuka Puasa dengan PERYATIM, majlis ramah-tamah dengan murid sekolah rendah sekitar Kuching dan program gotong-royong.

Semalam 42 kanak-kanak PIBAKAT diraikan sempena sambutan Tahun Baharu Cina diiringi ibu bapa dan warga pendidik pusat tersebut.

Sementara itu, Presiden PIBAKAT Zaidi Ahmad berkata, sejak pusat itu ditubuhkan pada 1989, banyak program telah dilaksanakan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Katanya, PIBAKAT menjalankan dua program iaitu ‘Morning Glory’ dan ‘Early Intervention Programme’ bagi para pelajar dan pada awal Januari lepas, menyediakan dobi layan diri dalam kawasan sekolah yang turut dibuka kepada orang ramai untuk memanfaatkannya.

“Atas sebab keselamatan, pagar sekolah dibuka mulai jam 8 pagi hingga 7 malam dari Isnin hingga Sabtu sahaja,” katanya.

Bagi tujuan pengoperasian, Zaidi berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 setahun dan masih memerlukan tenaga pelatih.

Justeru katanya, orang ramai dipelawa untuk datang pada waktu pejabat bagi menyokong atau menyumbang sebarang jenis bantuan kepada pihaknya.

Turut hadir Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Abdul Kadir, Timbalan Pengurus Besar (Pengarah Sektor Perkhidmatan Korporat, Bahagian Kewangan Korporat) SEDC Rakayah Hamdan dan Timbalan Pengurus Besar (Pengarah Sektor Komersil, Pengarah Bahagian Pelancongan dan Hospitaliti, Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat) SEDC Edwin Abit.

  • oleh
  • Advertisement