Anda di sini

FBM KLCI mungkin cecah 1,760 mata tahun ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Petunjuk asas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mungkin mencecah 1,760 mata tahun ini berikutan kebalikan dalam aliran keluar dana asing, bersandarkan perkembangan luaran positif, ditambah ringgit lebih murah dan pertumbuhan pendapatan korporat lebih baik, kata Rakuten Trade Sdn Bhd.

Ketua Penyelidikan Kenny Yee berkata beliau jangka berkurangnya kebimbangan terhadap pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan kadar kenaikan faedah AS lebih rendah akan menggalakkan dana asing kembali ke dalam pasaran ASEAN selepas mengalir keluar pada kadar banyak pada 2018, dengan Malaysia sebagai penerima manfaat terbesar.

Beliau berkata Bursa Malaysia merupakan pasaran ekuiti yang mencatatkan turun naik terendah di rantau dan kurang hubung kaitnya dengan petunjuk asas indeks pasaran AS Dow Jones Industrial Average akan menjadikan Malaysia destinasi pilihan bagi dana asing.

“Saya akan rasa gembira sekiranya (aliran masuk dana masuk) boleh mencecah RM5 bilion hingga RM8 bilion tahun ini. Secara keseluruhan, kami percaya ia akan menjadi satu lagi senario “pasaran perdagangan,” katanya pada taklimat media mengenai prospek pasaran pada 2019, di sini, semalam.

Pada 2018, aliran keluar bersih dana asing dari Malaysia hampir RM11 bilion berikutan penyusutan ringgit kepada kira-kira 4.18 berbanding dolar AS.

Yee berkata beliau jangka ringgit akan mengukuh kepada  3.90 berbanding dolar AS tahun ini, mengandaikan pertikaian perdagangan AS-China berakhir dan sekatan perdagangan AS ditarik balik.

Katanya pertumbuhan pendapatan FBM KLCI tahun ini akan diterajui sektor pembinaan dan perbankan, berikutan kerajaan mungkin melaksanakan semula beberapa projek infrastruktur utama seperti  MRT2, MRT3, LRT3, Laluan Rel Pantai Timur dan Kereta Api  Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

Mengulas pendapatan korporat pada tahun ini, Yee berkata pendapatan akan berkembang sebanyak 2.3 peratus tahun ini berbanding 4.9 peratus pada 2018.

“Indeks berkaitan saham mewah kini udah matang untuk dituai kerana kebanyakannya dimiliki dana asing dan banyak daripadanya didagangkan pada paras munasabah.

“Antara saham mewah yang menarik untuk dibeli tahun ini adalah CIMB Group, Genting Malaysia, Hartalega, Press Metal Aluminium, dan Tenaga, manakala saham modal kecil yang menarik termasuk Econpile, Kelington, MBSB, Tri-Mode, dan Vizione,” katanya.

Bagaimanapun,  Yee berkata beliau menjangkakan saham berkaitan permainan akan menghadapi tekanan tahun ini berikutan cukai permainan lebih tinggi diumumkan dalam Bajet 2019. — Bernama

Advertisement