Anda di sini

Dua lelaki mangsa terbaharu pinjaman tak wujud

Advertisement

SIBU: Angkara membuat pinjaman tidak wujud, dua orang lelaki masing-masing kerugian RM3,500 dan RM29,000.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, dua mangsa terbabit masing-masing ditipu selepas tertarik dengan tawaran pinjaman peribadi secara dalam talian dan melalui pesanan ringkas.

Katanya, kes pertama melibatkan seorang pengawal keselamatan berumur 30 tahun yang tertarik dengan satu iklan pinjaman peribadi di laman sosial Facebook pada 17 Februari lalu.

“Setelah mengisi borang secara dalam talian, pengadu telah dihubungi oleh satu nombor telefon untuk urusan membuat pinjaman berjumlah RM20,000 dengan ansuran bulan RM302 selama sembilan tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, pengadu juga telah diarah untuk  memasukkan wang berjumlah RM500 sebagai ‘deposit’ ke akaun milik suspek pada jam 4.33 petang 19 Februari lalu.

Pengadu sekali lagi diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM3,000 bagi mengaktifkan akaun dan pada hari yang sama di Jalan Mission di sini, pengadu telah memasukkan RM3,000 melalui dua kali transaksi (masing-masing RM1,500) ke nombor akaun yang sama.

“Selepas memasukkan wang, pengadu diminta untuk menunggu kelulusan pinjaman tetapi sehingga sekarang pengadu masih belum mendapat pinjaman tersebut.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis selepas tersedar dirinya ditipu,” kata Stanley.

Katanya lagi, tujuan pengadu memohon pinjaman adalah untuk membuat rumah.

Sementara itu katanya, seorang ahli perniagaan barangan elektrik, 49, yang menerima satu pesanan ringkas telah ditawarkan pinjaman peribadi dengan kadar kelulusan yang segera dan mudah.

Katanya, pengadu yang tertarik dengan tawaran tersebut bersetuju untuk meminjam wang sebanyak RM200,000 dengan ansuran sebanyak RM4,000 sebulan.

“Pengadu kemudiannya telah membuat pembayaran sebanyak RM5,000 sebagai bayaran dokumentasi pinjaman melalui mesin deposit tunai sebuah bank di sini pada 19 Februari lalu.

“Keesokannya, pengadu sekali lagi diminta membuat pembayaran sebanyak RM24,000 atas alasan sebagai jaminan bayaran semula.

“Selepas membuat pembayaran tersebut pengadu diminta untuk menunggu kelulusan dalam tempoh setengah tahun membuat pengadu berasa curiga dan sedar dirinya telah ditipu.

“Kedua-dua mangsa telah diperdayakan untuk memasukkan wang ke dalam akaun suspek yang terbabit bagi pinjaman yang tidak wujud,” katanya dan menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement