REMAJA hari ini menghadapi cabaran besar serta mengalami tekanan kehidupan moden yang begitu mendesak sehinggakan mudah menjadi sasaran pengedar dadah yang mencari mangsa yang mudah untuk ditakluki.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, lebih dahsyat lagi dadah kini wujud dalam pelbagai bentuk malahan sudah ada dadah sintetik yang dijual dalam bentuk cecair.
Berucap untuk merasmikan program Minggu Anti Dadah dan 3K SMK Semerah Padi baru-baru ini, katanya perbualan beliau dengan polis dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) mendapati jenayah serta dadah saling berkaitan.
“Mereka selalu mengaitkan masalah yang dihadapi masyarakat seperti gejala kecurian di kampung berpunca daripada penagihan dadah,” katanya.
Sharifah Hasidah yang juga naib pengerusi PEMADAM serta ketua biro wanita PEMADAM Sarawak berkata penjenayah kecil-kecilan itu sebenarnya mencari duit untuk membeli dadah.
“Ketagihan dadah membawa kepada perlakuan jenayah, kes kecurian kecil di kampung adalah bersebabkan penagihan dadah,” kata beliau.
Sharifah Hasidah berkata dadah juga menggugat institusi rumah tangga serta menjejaskan keharmonian sesebuah keluarga.
“Ada anak yang sanggup memukul mak bapa kerana minta duit untuk membeli dadah. Dadah menghancurkan hubungan keluarga.
Dalam pada itu, Sharifah Hasidah berkata beliau juga menerima laporan berlakunya kes penceraian berpunca daripada penagihan dadah.
Menurutnya, dadah menghancurkan masyarakat dan beliau bersyukur inisiatif memerangi dadah kini dimulakan di sekolah mendedahkan kepada anak anak betapa bahayanya gejala dadah.
Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat penyertaan pelajar sekolah dalam program pencegahan dadah turut mendapat sokongan ketua masyarakat serta penduduk kampung.
“Saya gembira melihat kaum ibu dan bapa, serta ketua kaum dan ketua masyarakat turut serta dalam program sebegini supaya kita semua tahu menghadapi ancaman dadah yang menjejaskan anak-anak kita,” tegas beliau.
Beliau turut berharap lebih banyak program seperti itu akan diadakan di sekolah dan kampung-kampung.
“Dadah jangan sesekali dicuba, jika sedikit pun dicuba susah kita. Besar mana sekali pun masalah kita, minta nasihat guru atau berbincang dengan keluarga, jangan sesekali mencuba dadah,” rayunya.
Turut hadir, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Shanty Pero, Pengetua SMK Semerah Padi Hadiah Amit dan Yang Dipertua PIBG SMK Semerah Padi Shamsuri Epoh.