Anda di sini

Bunuh: Empat lelaki ditahan

Advertisement
 Suspek ketiga dan keempat kes bunuh tersebut ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis.
DITANGKAP: Suspek ketiga dan keempat kes bunuh tersebut ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis.

MUKAH: Empat lelaki warga Indonesia ditahan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga asing di sebuah ladang kelapa sawit di Kenyana dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan polis susulan penemuan mayat lelaki terbabit yang dijumpai dalam keadaan terbaring di atas jalan dengan kesan tikaman di dada.

“Pihak polis telah menangkap empat lelaki, kesemuanya warga Indonesia berhubung kes bunuh lelaki warga asing di sebuah ladang dekat sini pada Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jimmy berkata, kes itu dilaporkan oleh seorang pengurus, 40, blok ladang berkenaan setelah dimaklumkan oleh seorang mandur tentang penemuan mayat seorang lelaki dipercayai warga Indonesia yang tidak diketahui identitinya sekitar jam 7.20 pagi Khamis lalu.

“Sejurus dimaklumkan, pengadu, 40, pergi ke lokasi dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan darah serta kesan tikaman di dada sebelah kanan, belakang badan sebelah kiri dan tangan kiri,” jelasnya.

Katanya lagi, siasatan awal polis juga menjumpai sebilah pisau bersarung di tepi jalan tempat kejadian.

“Pihak polis yang menjalankan siasatan belum dapat mengenal pasti identiti mangsa.

“Namun, mangsa dipercayai warga Indonesia berumur 20-an berdasarkan tiada tanda suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) di bahu mangsa,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dua lelaki warga Indonesia yang ditahan selepas mayat tersebut dijumpai pada hari kejadian telah direman selama tujuh hari sehingga 1 Mac, manakala dua lagi individu warga Indonesia ditahan pagi semalam untuk membantu siasatan kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambah beliau.

  • oleh
  • Advertisement