Anda di sini

Usaha gigih KTS dokumentasi biodiversiti wajar dicontohi

Advertisement
 Kenny (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mashor (tiga kanan) selepas perasmian seminar itu.
PENGHARGAAN: Kenny (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mashor (tiga kanan) selepas perasmian seminar itu.

KOTA KINABALU: Usaha berterusan KTS Plantation Sdn Bhd dalam mendokumentasi langkah pemuliharaan biodiversiti seharusnya menjadi contoh kepada pemegang Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang lain.

Ketua Konservator Hutan Datuk Mashor Mohd Jaini berkata, usaha mendokumentasi penyelidikan amat penting dalam mengurus tadbir hutan secara efisien mengikut pelan yang sudah ditetapkan.

“Saya gembira melihat KTS Plantation yang banyak melibatkan diri dalam usaha mendokumentasikan biodiversiti pemuliharaan hutan.

“Misalnya, dokumentasi yang diterjemah melalui seminar hari ini (semalam) mengenai hasil penyelidikan dari ekspedisi di Kawasan Pemuliharaan Sungai Rawog di Hutan Simpan Segaliud Lokan, Sandakan.

“Ini adalah satu aktiviti yang harus dicontohi oleh pemegang FMU lain, untuk mengurus hutan dengan berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Ekspedisi Kawasan Sungai Rawong di sebuah hotel di sini semalam.

Pada masa sama, beliau memuji syarikat swasta terbabit yang sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan mengenai pengurusan hutan mampan sebagai hala tuju pada masa hadapan.

Katanya, ia terbukti dengan termeterainya kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Perhutanan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan KTS Plantation pada 2016.

“Selain itu, pelbagai program kolaboratif juga diadakan seperti tinjauan hidupan liar, penilaian pemulihan hutan, ekspedisi ilmiah dan kini seminar untuk menyebarkan maklumat serta mewujudkan kesedaran pemuliharaan biodiversiti.

“KTS juga mengamalkan amalan hutan lestari dalam menguruskan Hutan Simpan Segaliud Lokan dan syarikat ini adalah yang pertama di Malaysia mencapai Program Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC),” katanya.

Tambahnya, amalan pengurusan hutan KTS turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti Kriteria dan Petunjuk Malaysia bagi Pensijilan Pengurusan Hutan (Hutan Asli) dan EMS IS014001.

Mengenai seminar itu, Mashor berkata dokumentasi kepelbagaian biologi di Kawasan Pemuliharaan Sungai Rawog adalah selaras dengan Inisiatif Heart of Borneo, yang memberi penekanan kepada pemuliharaan hutan dan kelangsungan hidupan liar.

“Saya difahamkan, seminar ini adalah dokumentasi biodiversiti pertama di kawasan pemuliharaan ini.

“Oleh itu, penemuan penyelidikan ini akan memberikan maklumat penting dalam meningkatkan usaha pemuliharaan KTS di rizab ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan KTS Dato Henry Lau Lee Kong berkata, seminar itu juga dianjurkan bagi menyampaikan hasil ekspedisi daripada pelbagai pihak berkepentingan serta penduduk di kawasan penyelidikan terbabit.

Katanya, seramai 36 tenaga pakar dari pelbagai bidang pengajian terdiri daripada UMS, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah, Pusat Penyelidikan Hutan (FRC) dan World Wide Fund To Nature (WWF) menyertai ekspedisi itu yang berlangsung selama dua minggu pada Ogos tahun lepas.

Hasil ekspedisi itu, katanya, akan digunakan bagi mening-katkan sistem pengurusan kawasan konservasi secara holistik yang kini dimasukkan dalam Rancangan Pengurusan Hutan (FMP) bagi tempoh 2019 hingga 2028.

Henry berkata, data ekspedisi itu sempat menunjukkan Rizab Hutan Sengaliud Lokan mempunyai populasi dan spesis hidupan liar yang paling tinggi berbanding kawasan FMU lain di Sabah.

“Ini adalah testimoni yang membuktikan strategi pemuliharaan baik di peringkat landskap dan pendekatan operasi hutan konservatif sepanjang 20 tahun lalu membuahkan hasil,” katanya yang diwakili Pengarah KTS Holdings Sdn Bhd Kenny Law Hui Kong.

Terdahulu, Sungai Rawog adalah kawasan pemuliharaan meliputi 3,118 hektar di sepanjang lembah Sungai Rawog, yang berfungsi sebagai koridor hidupan liar menghubungkan Hutan Simpan Deramakot & IOI Sdn Bhd.

Ia terletak di dalam Unit Pengurusan Hutan Simpan Semulaud Lokan (SLFR) No. 19 (B), dengan keluasan 57,247 hektar dan rizab hutan itu diuruskan oleh KTS Plantation sejak 1993.

  • oleh
  • Advertisement