Anda di sini

Tebingan Kuching dicadang dikendali satu pengurusan

Advertisement
 Karim (dua kiri) menyaksikan gambar yang dipamerkan sempena festival sambil diiringi Dr Sim (kanan), Abang Wahap (dua kanan) serta Wee (kiri) dan yang lain.
AKTIVITI: Karim (dua kiri) menyaksikan gambar yang dipamerkan sempena festival sambil diiringi Dr Sim (kanan), Abang Wahap (dua kanan) serta Wee (kiri) dan yang lain.

KUCHING:  Tebingan Kuching dicadang agar dikendalikan hanya satu pihak pengurusan bagi memudahkan lagi pelan perancangan termasuk aktiviti pelancongan yang lebih teratur.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, buat masa ini Tebingan Kuching mempunyai dua pengurusan iaitu di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Sewajarnya Tebingan Kuching ini tidak harus diuruskan dua atau tiga komponen dalam kita merancang pelan yang teratur.

“Saya merasakan bahawa pengurusan Tebingan Kuching ini harus dikendalikan oleh DBKU. Saya telah mengemukakan perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan beliau menunjukkan respons positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Festival Chap Goh Meh 2019 anjuran DBKU dengan kerjasamaa Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian serta India Street Merchant Association dan beberapa badan lain di Lebuh India di sini, malam kelmarin.

Menurut Karim sekiranya terdapat undang-undang berkaitan pengurusan Tebingan Kuching antara kedua-dua pihak, kerajaan bersedia untuk mengubah undang-undang terbabit.

Bagaimanapun katanya, apa yang penting adalah perancangan yang teratur dalam mengangkat atau mengubah Tebingan Kuching supaya menjadi kawasan lebih hidup dengan dipenuhi aktiviti.

Mengulas lanjut beliau menggesa kepada komuniti perniagaan di kawasan Tebingan Kuching termasuk dari Lebuh India hingga ke Lebuh Carpenter supaya bekerjasama dalam mentransformasikan kawasan yang dikenali kawasan Warisan itu.

“Kita mahu para penduduk yang tinggal di kawasan ini bersama mentransformasikan kawasan mereka.

“Kita perlu berubah untuk menjadikan kawasan warisan ini sebagai tempat tarikan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Jelasnya kawasan dari Lebuh India hingga ke Lebuh Carpenter sepatutnya menjadi sebuah kawasan laluan yang penuh dengan aktiviti setiap malam seperti di negeri serta negara lain, yang menjadi tumpuan pada setiap malam.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan pengerusi pengelola fetival Datuk Wee Hong Seng.

  • oleh
  • Advertisement