Anda di sini

Siasat cubaan teroka kayu di Bukit Spali

Advertisement
 Mujah (empat kiri) bersama Matek (empat kanan) serta Tuai Rumah Juil (tiga kiri) dan wakil penduduk lain menunjukkan surat aduan yang dikemukakan kepada JHS di Wisma Sumber Alam, semalam.
ADUAN: Mujah (empat kiri) bersama Matek (empat kanan) serta Tuai Rumah Juil (tiga kiri) dan wakil penduduk lain menunjukkan surat aduan yang dikemukakan kepada JHS di Wisma Sumber Alam, semalam.

KUCHING: Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) menyeru pihak berkuasa berkaitan agar menyiasat dakwaan bahawa dua syarikat tempatan cuba meneroka kayu di Bukit Spali, Sungai Ngemah di Kanowit.

Setiausaha Agung SADIA Nicholas Mujah Ason berkata, dua syarikat berkenaan dikatakan cuba memasuki tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik penduduk Iban di kawasan terbabit.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima aduan daripada komuniti dua rumah panjang di kawasan terbabit, iaitu Rumah Juil dan Rumah Sliong yang memohon bantuan daripada pejabat SADIA.

“Penduduk sebelum ini telah menulis surat aduan kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) pada 2016 selain membuat beberapa laporan polis di Kanowit mengenai perkara itu.

“Namun ia tidak menghalang mereka terus mahu meneroka hutan hak penduduk, di mana wakil syarikat telah datang ke kawasan tersebut untuk membuat penandaan jalan keluar membawa kayu.

“Selain itu, malahan mereka juga menunjukkan kepada penduduk bahawa mereka mempunyai lesen konsensi untuk menebang kayu di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengemukakan surat aduan kepada pengarah JHS yang turut ditemani beberapa penduduk diketuai Tuai Rumah Juil Ajong di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.

Tambah Mujah, komuniti setempat menyatakan kebimbangan mereka jika aktiviti pembalakan berkenaan diteruskan ia bakal memusnahkan kawasan terbabit yang menjadi tanah NCR serta tempat mencari sumber kepada mereka.

“Kita merayu kepada kerajaan negeri supaya jika ada apa-apa pembangunan termasuk pembalakan mereka harus memberitahu masyarakat setempat terlebih dahulu.

“Kita merayu kepada Ketua Menteri supaya meneliti perkara ini kerana beliau sendiri telah banyak kali menekankan kerajaan tidak mengeluarkan lagi lesen baharu pembalakan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu aktivis yang juga Pegawai Pemetaan SADIA Matek Geram berkata, SADIA amat berharap jabatan termasuk JHS menghenti atau membatalkan lesen berkenaan serta-merta jika ia adalah lesen yang sah.

“Kami telah mengadakan pemantauan dan pemetaan dan mendapati ia adalah sah atau tanah NCR kepada penduduk, di mana kami menjumpai tanah perkuburan, tempat berkebun, tempat bersawah dan sebagai sumber kepada kami.

“Kami mempunyai hak ke atas tanah ini yang dianggarkan seluas 3,000 hektar dan masih hutan dara yang memiliki haiwan terlindung termasuk burung enggang dan banyak lagi spesies terlindung lain,” katanya.

Tambah Matek, penduduk mendakwa bahawa syarikat berkenaan telah mendapat lesen konsensi sejak 2006 dan dihentikan pada suatu ketika.

Namun mereka datang kembali ke kawasan berkenaan dengan mendakwa mempunyai lesen untuk menebang kayu di kawasan yang merupakan milik penduduk setempat.

  • oleh
  • Advertisement