Anda di sini

Sabah tuan rumah MTQ Kebangsaan tahun depan

Advertisement
SHAFIE ketika menyampaikan ucapannya.
SHAFIE ketika menyampaikan ucapannya.

KOTA KINABALU: Sabah akan menjadi tuan rumah Majlis Tilawah Al Quran (MTQ) Peringkat Kebangsaan pada tahun depan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, selain menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan negeri, penganjuran tersebut dapat menjadi wadah dalam menyemarakkan tradisi pengajian al-Quran ke arah melahirkan generasi yang celik al-Quran.

“Kerajaan negeri bersetuju dan bersedia untuk menjadi hos kepada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, pada tahun depan.

“Dalam pada itu, kita yakin dengan terbentuknya generasi yang celik al-Quran, usaha mentransformasi masyarakat Islam kepada umat yang bersatu padu, bertamadun tinggi, dinamik dan makmur akan lebih mudah.

"Menyedari kedudukan umat Islam di negeri ini masih jauh ketinggalan, maka semangat baru untuk memperkasa ekonomi mesti disemaikan semula.

"Kita memerlukan pejuang agama, nasionalis dan patriot baru yang berjuang melalui landasan ekonomi, bukannya politik semata-mata.

"Ini kerana politik tidak secara automatik menjamin kedudukan dan survival bangsa jika tidak dikukuhkan dengan ekonomi, lebih-lebih lagi pada zaman globalisasi yang menekankan soal kejayaan dalam dunia dagang," ujarnya.

Tambah Shafie, umat Islam di negeri ini juga harus peka kepada kedudukannya dalam segala aspek, perlu merancang, melaksana serta memantau setiap objektif dan strategi yang digubal sebaik mungkin.

“Ini termasuk penekanan dari aspek character building kelas pertama yang perlu dipupuk dari peringkat pra-sekolah lagi kerana pendidikan yang diterima oleh satu-satu generasi itulah yang akan mencorak pentadbiran mereka semasa memerintah negara pada masa depan.

“Keperluan kepada satu sistem pendidikan berpandangan jauh dan diyakini oleh setiap lapisan masyarakat adalah amat penting.

"Dalam masa yang sama, kita perlu juga memupuk semangat persaudaraan, kesatuan fikrah dan perpaduan.

"Persoalan iktikad atau anutan agama memang sudah jelas, namun ianya bukanlah alasan untuk kita merenggangkan sifat ihsan dan keinsanan sesama kita," jelas beliau.

Selaras dengan aspirasi tersebut, beliau turut menyeru umat Islam agar bangkit dan terus menapak serta berlari dengan bersatu hati, bersiap sedia menghadapi pelbagai ujian dan cabaran sama ada tekanan ekonomi mahupun globalisasi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Juhar Mahirudin, di Dewan Saadah Muis, pada Khamis malam.

Turut hadir dalam majlis tersebut Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakung, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk MTQ Peringkat Negeri 2019 Datuk Aidi Moktar.-Penerangan.

Advertisement